Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KENYATAAN ASRI JANGGUT BERSIFAT PERIBADI – PPIM – BERITA HARIAN – 12/08/2020
13 Aug 2020

KUALA LUMPUR: Kenyataan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mempertikaikan polis dan tentera bersifat peribadi dan tidak mewakili Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihak persatuan sama sekali tidak menyokong, malah menyanggah tindakan tidak wajar dibuat oleh Asri Janggut termasuk tohmahannya kepada polis dan tentera.

Beliau berkata, PPIM juga ingin memohon maaf terutamanya polis, tentera dan anggota keselamatan serta mereka yang terkesan dengan kata-kata Asri Janggut yang sangat tidak wajar dan tidak berasas.

“Asri hanyalah rakan strategik PPIM di mana kata-katanya adalah bersifat peribadi yang tidak mewakili dasar persatuan sama sekali.

“Namun begitu, kami di PPIM mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan kerana sebahagian kenyataannya dibuat di platform PPIM.

“PPIM juga sangat terkilan dengan perkara ini dan sekali lagi memohon jutaan kemaafan daripada semua atas sebarang tindakan yang tidak wajar,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, Asri Janggut menggemparkan negara apabila membuat video pendedahan rumah perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.

Semalam, tular video di media sosial apabila Asri Janggut mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat.

Pada masa sama, Nadzim berkata, PPIM juga sedang mengambil beberapa tindakan dan akan mengeluarkan kenyataan susulan dari semasa ke semasa berhubung perkara ini.

Artikel oleh: Berita Harian

KENYATAAN ASRI JANGGUT BERSIFAT PERIBADI

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/720474/kenyataan-asri-janggut-bersifat-peribadi-ppim