Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KENYATAAN MENJUNJUNG KASIH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG – KENYATAAN MEDIA PPIM – 26/10/2020
26 Oct 2020

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menjunjung kasih dan amat menyambut baik titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengenai pengisytiharan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

Kami menganggap ini adalah satu keputusan yang bijak, adil dan prihatin terhadap nasib rakyat jelata yang sedang terperangkap dalam ketidakpastian masa depan mereka.

Walaupun masih belum bebas dari wabak global ini, rakyat boleh menarik nafas lega kerana setidak-tidaknya masih mempunyai ruang untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

PPIM juga mengikuti secara teliti akan perkembangan politik yang semakin tidak menentu dan amat bimbang jika ianya berterusan, ia akan mencetuskan suasana yang lebih buruk dan tidak berkesudahan. Lebih mengancam ketenteraman rakyat jika keadaan ini akan menyebabkan pembubaran parlimen dan pilihanraya umum perlu diadakan dalam keadaan hiruk pikuk wabak bahaya ini. Kita tidak mahu melihat perkara yang sama berulang seperti apa yang telah berlaku semasa pilihanraya negeri Sabah baru-baru ini, yang telah menjadi penyebab utama kenaikan mendadak kes-kes positif COVID-19 ini. 

Oleh yang demikian, PPIM amat bersetuju dengan teguran Seri Paduka Baginda agar ahli-ahli politik memberhentikan segera segala politiking, perbalahan dan perbezaan pendapat, yang semua maklum telah menggugat kestabilan pemerintahan negara.

Negara kini sekarang di ambang COVID-19 yang kian mengancam keselamatan rakyat dan adalah wajar semua pihak berganding bahu serta mengenepikan semua perbezaan yang ada, dan menumpukan seluruh tenaga, sumber dan kepakaran yang ada untuk memerangi wabak ini.

Kami juga dengan penuh harapan agar titah Seri Paduka Baginda mengenai pembentangan Belanjawan Negara 2021 yang amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara ini dijunjung perintah oleh semua pihak.

Kami mempunyai keyakinan yang penuh akan kemampuan barisan hadapan kita dalam memerangi wabak ini seperti yang telah terbukti sebelum ini.

Sama-samalah kita berdoa agar negara dapat keluar dari gejala ini dengan baik dan meraih pengalaman yang baru dalam berdepan dengan sebarang kemungkinan gejala di masa akan datang.

Sekian terima kasih.

DAULAT TUANKU!

Nadzim Johan@toqqi
Pengerusi
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

https://www.facebook.com/307501000176427/posts/707756056817584/