Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KENYATAAN SUSAHKAN RAKYAT TOLAK VAKSIN, PPIM DESAK PECAT KJ – SAMUDERA.MY – 01/04/2022
07 Apr 2022

KUALA LUMPUR, 01 April 2022 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri untuk memecat Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin serta merta berikutan kenyataannya untuk menyusahkan hidup rakyat yang menolak vaksin COVID-19.

“Pendekatan kita ialah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin,” ucap Khairy sewaktu pelancaran _11th National Acute Myocardial Infarcation Cause (NAMIC) 2021_ di ibu negara, 16 Oktober 2021 tahun lalu.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan mengatakan bahawa isu skandal MySejahtera yang timbul baru-baru ini turut menambah kebimbangan dan kemarahan rakyat yang merasakan diri mereka dianiaya tanpa sebarang penjelasan.

Skandal tersebut mula terbongkar apabila _Public Accounts Committee_ (PAC) mendedahkan bahawa aplikasi yang dibangunkan oleh pihak kerajaan itu diambil alih oleh KPISoft Malaysia Sdn. Bhd.

Syarikat itu juga merupakan sebuah syarikat tempatan yang membangunkan aplikasi itu kepada sebuah syarikat lain tanpa diumumkan kepada rakyat.

Hal itu sekaligus membuktikan bahawa Khairy gagal menjalankan tugasnya sebagai Menteri Kesihatan dan juga sebagai individu yang bertanggungjawab untuk Program Vaksinasi Negara sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

“Sebelum pelantikannya sebagai Menteri Kesihatan, Khairy telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” ujarnya.

Menurutnya, walau di negara mana pun, rakyatnya akan bangkit mempertahankan hak mereka apabila mereka ditindas dan ia tidak mustahil untuk berlaku di negara ini.

Beliau turut memaklumkan kepada pihak media bahawa PPIM bersama 1.2 juta ahlinya telah menyerahkan satu nota kepada Perdana Menteri untuk membantah mana-mana Ahli Parlimen dan ahli politik yang terus menyokong program PICK yang turut menjadi punca kepada Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) dan kematian rakyat Malaysia.

Malah, beliau yang dikenali dengan panggilan Toqqi juga menyeru rakyat Malaysia agar bersatu hati untuk menyatakan protes mereka berikutan status vaksinasi yang bakal ditukar kerana enggan patuh kepada permintaan tidak masuk akal Khairy itu.

“Mereka ini sudah divaksinasi, bukan mereka menolak vaksin sepenuhnya tetapi walaupun mereka sudah akur dan menerima vaksin, Khairy masih mendesak dan memaksa mereka untuk terus diberikan vaksin yang belum pun terbukti membantu mencegah COVID-19 malah vaksin COVID-19 telah terbukti menyebabkan kematian rakyat Malaysia.”

“Kita tidak mahu rakyat turun ke jalanan untuk membantah, cukup sekadar kita tinggal di rumah dan tidak keluar ke mana-mana, tunjukkan kepada kerajaan rakyat adalah nadi negara, tanpa rakyat, tanpa suara kerdil ini kerajaan tidak akan mampu berbuat apa-apa jadi janganlah kerajaan melakukan sewenang-wenangnya terhadap rakyat, mereka bukan bahan kajian,” katanya.

Tambah beliau, tindakan Khairy itu terlalu mengejar pengiktirafan antarabangsa hingga sanggup menggadaikan kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya sendiri.

Justeru, beliau menegaskan agar salah laku dan penganiayaan Khairy terhadap rakyat harus dihentikan dengan segera.

Artikel oleh: Samudera.my

KENYATAAN SUSAHKAN RAKYAT TOLAK VAKSIN, PPIIM DESAK PECAT KJ

https://www.samudera.my/kenyataan-susahkan-rakyat-tolak-vaksin-ppim-desak-pecat-kj/