KUALA LUMPUR, 4 Nov – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak Kerajaan menyasarkan untuk membebaskan kesemua 50,000 individu muflis daripada status bankrap dalam tempoh lima tahun.
Menurut Ahmad Zahid, sebagai permulaan, seramai 20,000 peminjam yang bankrap secara teknikal atau penjamin sosial, disasarkan bebas daripada status muflis dalam tempoh setahun.
“KITA MAHU MELEPASKAN MEREKA DARIPADA KONGKONGAN HUTANG YANG DITANGGUNG DISEBABKAN KEPERIHATINAN MEREKA (MENJADI PENJAMIN SOSIAL), KITA MAHU AGAR DAPAT DISELESAIKAN 100 PERATUS DALAM TEMPOH LIMA TAHUN, MUNGKIN AGAK BERAT TETAPI IA TIDAK MUSTAHIL DILAKUKAN,” KATA AHMAD ZAHID.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Forum
Pengguna Ke-7 2017, anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau juga yakin PPIM yang mempunyai kira-kira empat juta ‘pendokong ‘ iaitu terdiri daripada anggota dan penyokong akan dapat membantu mempercepatkan proses mengeluarkan peminjam muflis ini daripada tersenarai di bawah Akta Kebankrapan 1967.
“KITA JUGA BERHARAP PPIM MEMPERLUASKAN KHIDMATNYA SECARA MENYELURUH, TERMASUK KEPADA BUKAN ISLAM,
ITULAH KEINDAHAN ISLAM YANG SEBENAR,” KATANYA.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata PPIM juga diminta menyalurkan secara terus maklumat melibatkan perjudian atas talian, ah long, jenayah kolar putih dan sindikit keldai akaun kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan KDN.
“PDRM tidak akan berkompromi malah akan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 atau Akta 297 (POCA) untuk mereka yang terlibat dalam aktiviti haram berkenaan, dengan menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Negara Malaysia dan PDRM untuk kesahihan laporan yang diterima,” katanya.
Forum kali ke tujuh itu disertai lebih 1200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan, wakil agensi kerajaan dan pelajar.
Dua tajuk utama yang dibincangkan adalah ‘Survival Pengguna : Mengadaptasi Kenaikan Kos Sara Hidup’ dan ‘Kebangkitan Pengguna : Mencegah Masalah Ahlong dan Muflis’.
Menerusi forum tersebut, PPIM turut menyerahkan tujuh resolusi kepada Ahmad Zahid antaranya mewujudkan satu kerusi senator bagi mewakili suara pengguna di Parlimen. – WD MY