SHAH ALAM – Kerajaan wajar campur tangan terhadap isu kenaikan tambang bas sekolah dengan menetapkan harga siling supaya tidak membebankan ibu bapa dan penjaga.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, setiap isu melibatkan rakyat sepatutnya diambil perhatian oleh kerajaan dan bukannya lepas tangan begitu sahaja.
Beliau berkata, sudah tentu sebarang peningkatan harga tambang ketika kos sara hidup semakin meningkat pada masa kini akan menggusarkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
“Banyak sangat pendirian kerajaan yang mengatakan mereka tidak boleh kawal sedangkan kalau ada kemahuan perkara itu boleh dibuat. Kalau nak kawal along pun mereka boleh kawal.
“Saya cakap begitu kerana rakyat dalam kesusahan. Kalau letak harga tinggi secara suka hati tiada pula kawalan itu sangat tidak adil,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa kementeriannya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyekat peningkatan harga tambang bas sekolah.
Ini selepas ura-ura mengatakan harga tambang sekolah akan dinaikkan bermula sesi persekolahan 2025 pada Februari ini.
Sementara itu, Nadzim berkata, kerajaan seharusnya serius membantu mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan isu tambang bas sekolah ini.
“Mungkin undang-undang sedia ada belum cukup, tetapi kena buat sesuatu. Sedangkan perkara lain boleh sahaja kerajaan melakukannya.
“Contohnya, kerajaan boleh campur tangan dalam isu tambang kapal terbang. Jadi, apa yang dibuat perlulah adil agar tidak mendatangkan kemarahan rakyat,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
KERAJAAN WAJAR CAMPUR TANGAN – PPIM
https://www.sinarharian.com.my/article/706517/berita/nasional/kerajaan-wajar-campur-tangan—ppim