KERANA KAU – HARIAN METRO – 27/4/19
27 Apr 2019
SUDAHLAH kehilangan ibu tersayang, muflis pula. Itu kisah pilu eksekutif swasta yang melalui detik sedih berganda apabila tidak dapat mengeluarkan wang untuk pengurusan jenazah kerana disahkan bankrap pada hari sama.
Ia permulaan episod duka, Saleha, 53, yang kini tercari-cari pedoman hidup akibat ditipu rakan niaganya selepas membuat pinjaman untuk memulakan sewaan restoran pada 2012.
Bukan itu saja, dia kini trauma memikirkan nasib yang masih berstatus bankrap biarpun sudah enam tahun membuat bayaran kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) kerana menganggap ia tidak adil buat dirinya.
“Saya mengenali rakan itu beberapa tahun lalu selepas dia menjadi kontraktor mengubahsuai rumah saya. Tidak lama kemudian, dia mengajak membuka restoran di ibu negara dan membuat pinjaman untuk lima tahun.
“Selang beberapa bulan, saya dimaklumkan ada bayaran tertunggak dan usaha untuk menghubunginya gagal. Dia yang menguruskan bayaran balik sebelum itu dan nama saya digunakan sebagai penjamin,” katanya ditemui ketika membuat aduan kepada Timbalan Pengerusi Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar, hari ini.
Saleha berkata, dia hanya mengetahui bankrap apabila gagal mengeluarkan wang menerusi mesin pengeluaran automatik untuk membeli barangan pengurusan jenazah ibunya pada 2013.
Katanya, dalam keadaan kelam-kabut itu, dia terpaksa meminta bantuan adik-beradik lain untuk mendahulukan wang mereka bagi membolehkan jenazah ibunya diuruskan sebaik mungkin.
“Selepas itu, saya cuba mencari rakan terbabit, namun gagal sehingga hari ini. Saya pula yang perlu membayar ansuran kepada MdI kerana dia tidak dapat dijejaki.
“Bayaran itu saya boleh usahakan, tetapi hidup saya seperti dikongkong kerana tidak dapat membuat pinjaman untuk anak-anak menyambung pengajian. Kadang-kadang terfikir, apalah guna saya sebagai ibu kerana tidak dapat bantu anak-anak. Saya nak jelaskan pun susah kerana saya hanya penjamin,” katanya.
Sementara itu, Dr Mazlina berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada MdI berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat kerana Saleha kini menanggung hutang ke depan yang perlu dijelaskan dalam tempoh lima tahun.
Katanya, perkara itu perlu diambil kira kerana dia dan rakannya baru saja membayar beberapa bulan, biarpun kontrak sewaan tapak kedai itu ditandatangani untuk tempoh lima tahun.
“Hutang itu dikira untuk tempoh lima tahun, sedangkan ia bukan pinjaman pembiayaan, ia sewa unit kedai. Jadi aspek itu perlu diambil kira,” katanya.
Artikel oleh : Harian Metro
KERANA KAU
Post Views: 267