CYBERJAYA: Semua pihak perlu bekerjasama mengatasi kegiatan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang semakin berleluasa di negara ini.
Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata aktiviti scam ini bukan perkara baharu dan berleluasa lebih 10 tahun di negara ini membabitkan scam Nigeria, Black Money dan China.
Katanya, sudah tiba masanya semua pihak bekerjasama dalam membanteras kegiatan ini membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis.
“Aktiviti ini bermula dari kecil menjadi besar,” katanya kepada pemberita selepas program Deklarasi Cyberjaya, di Malakat Mall di sini hari ini.
Pada program itu, 35 syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) memeterai perjanjian perniagaan bersama PPIM bagi mengukuhkan ekonomi perniagaan pengusaha Islam.
Nadzim berkata, peniaga Islam perlu ada identiti dan kualiti yang baik dan tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti scam.
“Semua pihak termasuk artis tidak harus terpengaruh dengan aktiviti ini kerana ia boleh menjejaskan maruah dan imej,” katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
KERJASAMA PELBAGAI PIHAK BANTERAS MACAU SCAM