KESEDARAN melakukan caruman bagi keselamatan terhadap individu bekerja sendiri termasuk dalam sektor e-hailing dilihat masih rendah meskipun trend pekerjaan berkenaan semakin meningkat.
Ketua Cawangan Dasar dan Strategi Bahagian Sumber Manusia Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Mohd Razmi Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan seramai 14 individu yang bekerja dalam sektor e-hailing meninggal dunia ketika bekerja direkodkan pada Januari hingga Mei lalu.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai individu yang hilang pekerjaan memilih untuk bekerja sendiri bagi mendapatkan pendapatan.
“Namun, ramai antara mereka belum menyedari kepentingan melakukan caruman keselamatan yang memberikan jaminan masa depan terutama kepada waris sekiranya berlaku insiden tidak diingini terhadap mereka.
“Justeru, kami menyeru individu bekerja sendiri atau pihak majikan terbabit dalam sektor berkenaan seperti e-hailing supaya tampil membuat caruman bagi menjamin keselamatan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah Zahlawati Dahlan, 47, balu kepada penghantar makanan, Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang meninggal dunia selepas motosikal dinaikinya dilanggar pemandu mabuk di Bukit Antarabangsa, di sini, hari ini.
Razmi bersama Ahli Lembaga Skim Pekerjaan Sendiri, Datuk Nadzim Johan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Zahlawati dan empat anaknya ketika menziarah mereka sekeluarga, hari ini.
Razmi berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan menghubungi waris Mohamer Zaili untuk mendapatkan maklumatnya.
“Bagaimanapun, semakan mendapati arwah tidak mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) atau mana-mana skim Perkeso lain.
“Melihat keadaan itu, kami mengambil inisiatif untuk memberikan sumbangan wang tunai RM500 kepada balu arwah, RM100 kepada setiap anak arwah, duit raya serta hamper kepada mereka menerusi sumbangan wakalah anggota Perkeso,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, selain individu yang berkerja sendiri, pemain industri terbabit dalam sektor berkenaan perlu mengambil langkah melakukan caruman keselamatan kepada mereka.
“Ramai pemain industri yang terbabit dalam sektor pekerjaan sendiri termasuk e-hailing seperti platform jualan dalam talian sepatutnya mengambil langkah awal dengan mencarum untuk individu yang bekerja untuk mereka seperti penghantar makanan.
“Ini kerana individu terbabit bekerja untuk mereka dan tanpa mereka tidak berlaku penghantaran kepada pelanggan. Namun, golongan ini tidak mendapat jaminan keselamatan daripada syarikat terbabit ketika bekerja,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
KESEDARAN MENCARUM INDIVIDU BEKERJA SENDIRI MASIH RENDAH [METROTV]