Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KETUA MENTERI MELAKA SOKONG KUMPULAN MALAKAT, GEMBIRA MALAKAT MALL BEROPERASI DI MASJID TANAH – MALAKAT TRIBUNE – 10/04/2021
14 Apr 2021

MASJID TANAH – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberi sokongan penuh kepada Kumpulan Malakat untuk memperluaskan operasi di Melaka.

Sulaiman berkata, beliau juga akan memberi sokongan sekiranya Malakat Mall Masjid Tanah mahu beroperasi selama 24 jam sehari.

Bagaimanapun katanya, perkara itu juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya akan memberi sokongan sekiranya Kumpulan Malakat berhasrat untuk membuka cawangan Malakat Mall di seluruh Melaka pada masa akan datang.

“Saya juga akan menyokong jika Malakat Mall Masjid Tanah mahu beroperasi 24 jam. Namun, ia tertakluk kepada MKN, jika dibenarkan saya akan memberi sokongan.

Anak-anak yatim menerima sumbangan di Majlis Perasmian Malakat Mall Masjid Tanah

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak Kumpulan Malakat yang bertungkus lumus membangunkan sebuah ekosistem ekonomi baharu yang bebas daripada riba.

“Semua ini untuk meningkatkan ekonomi usahawan muslim. Walaupun sukar, Kumpulan Malakat tetap berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Sulaiman berkata, beliau begitu beremosi ketika mendapat jemputan untuk merasmikan Malakat Mall Masjid Tanah kerana ia sememangnya amat dinanti-nantikan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika berucap merasmikan Malakat Mall Masjid Tanah.

“Menyebut sahaja nama majlis ini, saya sendiri benar-benar terasa umpama bangkitnya semangat dan roh perniagaan Melayu itu semakin subur.

“Mana tidaknya, diam tak diam, setelah sekian lama warga Masjid Tanah iaitu kawasan DUN saya sendiri menanti pembukaan Mall ini. Akhirnya saya sendiri berdiri untuk merasmikannya.

“Semenjak Malakat Mall Masjid Tanah ini dibuka pada 13 Mac yang lalu, saya dapati pasar raya ini menjadi tumpuan orang ramai berbelanja dan menjamu selera di restoran serta kiosk di sini,” katanya.

Selain itu katanya, beliau melihat Kumpulan Malakat semakin berkembang dengan kewujudan lebih banyak rangkaian pasar raya di seluruh negara melalui kempen dan galakan perniagaan.

“Saya difahamkan, Malakat Mall diwujudkan tanpa pinjaman riba. Ia ibarat Pasar Madinah yang memberi peluang kepada usahawan Muslim memasarkan produk mereka dengan mudah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merasmikan Malakat Mall Masjid Tanah.

“Saya ambil maklum, peranan besar yang dimainkan oleh Kumpulan Malakat dalam menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan dalam misi untuk membina sebuah ekosistem ekonomi Islam bebas riba.

“Saya amat bersyukur, pihak MARA dan Malakat Mall bersetuju mengadakan kerjasama strategik untuk menghidupkan kembali pasar raya yang telah lama terbengkalai ini (bangunan Malakat Mall Masjid Tanah).

“Tentunya, dengan kerjasama antara kedua-dua pihak ini akan merubah wajah Malakat Mall Masjid Tanah menjadi salah sebuah mercu tanda di bandar Masjid Tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengucapkan terima kasih kepada Kumpulkan Malakat kerana memberi peluang kepada usahawan-usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan.

Malakat Mall Masjid Tanah

“Saya difahamkan, pihak Kumpulan Malakat telah mula mendapatkan bekalan ayam dari sebuah ladang ternakan ayam di Air Limau dan bercadang 12 mendapatkan bekalan sayur-sayuran daripada petani di daerah ini serta telah memberi peluang kepada para usahawan IKS tempatan untuk mempamerkan produk-produk mereka di Malakat Mall.

“Usaha ini selari dengan lapan flagships yang terangkum di dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) di mana flagships yang kelima memfokuskan ke arah Melaka Negeri Usahawan demi memperhebat kembali sektor pembangunan ekonomi Negeri Melaka,” katanya.

Artikel oleh: Malakat Tribune

KETUA MENTERI MELAKA SOKONG KUMPULAN MALAKAT, GEMBIRA MALAKAT MALL BEROPERASI DI MASJID TANAH

https://www.malakattribunenews.com/2021/04/ketua-menteri-melaka-sokong-kumpulan-malakat-gembira-malakat-mall-beroperasi-di-masjid-tanah/