Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KJ, DR NOOR HISHAM DISAMAN ISU VAKSIN COVID-19 – SINAR HARIAN – 16/11/2022
17 Nov 2022

SHAH ALAM – Sekumpulan rakyat Malaysia memfailkan saman terhadap kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya menteri yang bertanggungjawab ke atas program vaksinasi negara, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mendakwa menjadi mangsa kepada kesan sampingan akibat vaksin Covid-19.

Kumpulan seramai 44 orang mangsa itu yang diwakili firma guaman Shahrin Satheer Kamal & Co turun memfailkan saman terhadap Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan tiga pengeluar vaksin Covid-19 iaitu Pfizer, Astrazeneca dan Pharmaniaga.

Peguam firma guaman Shahrin Satheer Kamal & Co, Muhammad Shahrin Satheer berkata, kumpulan tersebut mendakwa KKM memberi satu deklarasi tidak sah dan merupakan suatu persetujuan yang dipaksa oleh pihak defendan untuk mengelakkan mereka diambil tindakan akibat daripada kesan sampingan teruk akibat suntikan vaksin Covid-19.

“Selain itu, mereka turut menuntut defendan bertanggungjawab atas kesan suntikan vaksin Covid-19 terhadap plaintif telah memberikan kesan sampingan teruk termasuk menyebabkan kematian, kehilangan upaya kekal dan komplikasi-komplikasi lain yang mengakibatkan kerugian.

“Anak guam kami menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas yang perlu dibayar defenden kepada plaintif akibat daripada kesan sampingan teruk suntikan Covid-19 yang telah menyebabkan kematian, kehilangan upaya kekal dan komplikasi-komplikasi lain yang mengakibatkan kerugian dan kehilangan nyawa yang ditanggung plaintif-plaintif,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, ketiadaan bukti vaksin yang pernah diuji secara klinikal sebelum digunakan terhadap pengguna juga menjadi antara asas tuntutan saman tersebut.

“Mereka menuntut agar semua vaksin yang digunakan selepas ini perlu menjalani ujian klinikal dalam keadaan mana laporan klinikal penuh terhadap keberkesanan suntikan Covid-19 mengekang transmisi penyebaran wabak Covid-19 perlu dikeluarkan oleh defendan.

“Plaintif juga menuntut sebuah injunksi interim untuk menghalang defendan daripada memberikan secara meluas vaksin Covid-19 kepada rakyat Malaysia yang lain sehingga kajian klinikal dilakukan dan laporan lengkap disediakan,” ujarnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

KJ, DR NOOR HISHAM DISAMAN ISU VAKSIN COVID-19

https://www.sinarharian.com.my/article/231609/berita/nasional/kj-dr-noor-hisham-disaman-isu-vaksin-covid-19