Kuala Lumpur: Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan harga rumah teres paling mahal di negara ini.
Manakala Melaka dan Perlis merekodkan harga rumah paling murah biarpun purata gaji pada kadar hampir RM3,000.
Harga purata rumah teres masih di bawah RM200,000 berbanding Sabah dan Pulau Pinang dengan purata gaji hampir RM3,000 namun harga rumah teres mencecah RM500,000.
Ia dikongsikan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang berkongsi mengenai perkara itu di laman Facebook rasmi.
Menerusi hantaran itu juga, PPIM turut memuatnaik maklumat berkenaan purata harga rumah teres di setiap negeri.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu mempelajari kaedah penyediaan rumah, pelan strategi perumahan di negara lebih berjaya, terutama di kawasan bandar seperti Hong Kong dan Singapura.
“Sememangnya masalah ini sudah lama dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar utama negara.
Namun tidak ada langkah yang benar-benar berkesan atau di luar kotak.
“Jika ada pun seperti program rumah rakyat, rumah mampu milik dan skim sewa beli, jumlah unit rumah masih jauh rendah bilangannya daripada permintaan pada satu-satu masa. Kerajaan negeri seperti negeri Selangor turut mengadakan program yang sama namun ia belum mencukupi.
“Mungkin kerajaan perlu mempelajari kaedah penyediaan rumah dan pelan strategi perumahan di negara lain yang lebih berjaya, terutama di kawasan bandar seperti di Hong Kong dan Singapura.
“Ia bukan saja rumah tetapi menyediakan infrastruktur yang komprehensif supaya projek itu mempunyai daya saing sendiri pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, usaha kerajaan yang kebanyakannya tertumpu pada pembinaan rumah kos rendah adalah langkah baik, namun belum mencukupi bagi membantu golongan sasaran memiliki kediaman sendiri.
“Usaha itu hanya penyelesaian jangka pendek bertujuan mewujudkan penawaran, sedangkan ada isu lain yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan, iaitu pinjaman perumahan melalui bank.
“Rakyat tentu gembira dengan pengumuman lebih banyak rumah mampu milik bakal dibina, namun jika mereka berjaya mendapat pinjaman, kadar faedah yang dikenakan adalah tinggi menyebabkan adakala kos pembiayaan (pembelian rumah) melebihi harga asal rumah.
“Sebagai contoh, rumah RM300,000 yang dibiayai dengan pinjaman bank selama 30 tahun dan kadar bunga 6.0 peratus akan menyebabkan peminjam terpaksa membayar RM1,798 sebulan dan jumlah pembayaran pinjaman keseluruhan sebanyak RM647,514, iaitu lebih sekali ganda harga rumah.
“Disebabkan itu, perlu ada pembiayaan alternatif yang tidak membabitkan pinjaman bank bagi pembelian rumah mampu milik,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
KL, SELANGOR CATAT HARGA RUMAH PALING MAHAL – PPIM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/12/918197/kl-selangor-catat-harga-rumah-paling-mahal-ppim