ORANG ramai dinasihat supaya mendapatkan maklumat yang betul mengenai situasi wabak koronavirus yang dikeluarkan pihak berkuasa dan bukannya menerusi saluran yang tidak dipastikan sumbernya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kewujudan pihak tertentu yang menawarkan makanan kesihatan yang dikatakan boleh menjadi penawar kepada penyakit itu.
Katanya, seperti mana-mana isu kesihatan sebelum ini, akan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk melariskan jualan serta produk mereka ketika masyarakat bimbang mengenai penularan wabak di negara ini.
“Kalau dulu kita ada beberapa penyakit seperti anjing gila dan macam-macam lagi. Maka timbullah jurujual yang mendakwa mereka ada penawar itu dan ini. Sebenarnya, kita hanya perlu ikut nasihat pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengemaskini setiap perkembangan.
“Tapi itulah, orang yang pandai mencari peluang ini ada di mana-mana. Cuma janganlah kita bersikap ambil mudah dengan perkara ini kerana ia adalah isu kesihatan semua,” katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai digesa merujuk kepada pihak yang betul atau mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya mendapati mereka tidak sihat, demam atau tidak selesa.
“Jangan rujuk kepada Facebook atau perkongsian di media sosial semata-mata kerana ia mungkin tidak tepat. Kecuali jika kita pasti itu memang arahan atau notis daripada kementerian. Masalahnya yang memberi komen itu kadang-kadang nampak lebih bermaklumat daripada doktor. Jadi usah percaya bulat-bulat,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
KORONAVIRUS: PPIM NASIHAT MASYARAKAT DAPATKAN MAKLUMAT SAHIH