Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KPM KEJAM: PAKSA GURU MENGAJAR DI SEBALIK TABIR PLASTIK – KENYATAAN MEDIA PPIM – 15/02/2024
15 Feb 2024

“Saya terpaksa mengajar di sebalik tabir plastik dalam keadaan murid-murid duduk membelakangkan saya. Inilah pengalaman paling menyedihkan dan paling kejam dalam sejarah saya sebagai pendidik!”

Inilah luahan hati seorang pendidik setelah beliau enggan mengambil vaksin atas pilihan sendiri.

Guru terbabit telah datang sendiri ke pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan telah menceritakan dengan perasaan yang sebak tentang bagaimana beliau telah dinafikan hak untuk menjalankan tugas beliau dengan sempurna dalam satu sesi sidang media khas PPIM semalam. 

“Boleh tak bayangkan bagaimana seseorang murid yang terpaksa memusingkan badannya untuk menanyakan sesuatu kepada saya yang berdiri mengajar di belakang tabir plastik?” tanya beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Cikgu J.

Beliau enggan mengambil vaksin COVID-19 atas pilihan sendiri kerana tidak mahu memasukkan apa-apa bahan yang kurang diyakini ke dalam tubuhnya.

“Lagi pun pada tanggapan saya dan juga yang lain-lain pengambilan vaksin COVID-19 adalah atas dasar sukarela dan tiada sebarang paksaan,” ujar beliau lagi.

Namun, sangkaan beliau meleset kerana istilah sukarela itu beserta beberapa unsur yang berbaur paksaan dan akibat yang memudaratkan.

“Akibat keengganan itu, saya telah diambil tindakan tatatertib yang telah menjejaskan kenaikan ke gred 48 setelah 20 tahun berkecimpung dalam dunia pendidikan,” tambah Cikgu J lagi.

Tambah beliau, ada banyak lagi ragam yang pelik dan jelik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Antaranya saya telah dinafikan tuntutan pengajaran atas talian semasa PKP dahulu serta pemberian elaun khas sebanyak RM700 sehingga saya membuktikan bahawa pengambilan vaksin beracun itu,” kata beliau lagi.

Dalam sebuah paparan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menyatakan bahawa barang siapa yang enggan mengambil vaksin, akan menjejaskan

  1. Kenaikan pangkat dan gred
  2. Permohonan persaraan awal
  3. Peluang dikurniakan Anugerah Khidmat Cemerlang.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut merasa hairan mengapa istilah sukarela itu disertakan dengan elemen-elemen bersyarat dan mengugut.

“Saya hairan mengapa pihak Kementerian Pendidikan begitu tegar berpegang kepada keperluan WHO yang bodoh yang sehingga hari ini rancak diperdebat dan dipersoal oleh masyarakat dunia?” tanya Nadzim.

Menurut beliau lagi ini adalah satu penganiayaan yang jelas terhadap rakyat sendiri yang hanya mahu menuntut hak asasi mereka dalam menjaga tubuh mereka dari tercemar.

Nadzim menyeru Kementerian Pendidikan supaya bertindak dengan bijak dan tidak terbawa-bawa dengan agenda bodoh konglomerat-konglomerat farmaseutikel yang dibantu oleh WHO yang tidak akan memberikan apa-apa kebaikan malah telah mengakibatkan kesan yang buruk kepada rakyat.

Menurut beberapa sumber, ada lebih kurang 600 guru sedang mengalami nasib yang sama dan ini sudah tentu akan membantutkan semua usaha untuk melahirkan sebuah generasi masa depan yang lebih dinamik di bumi bertuah ini.