Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KR1M 2.0 NAFAS BAHARU BANTU RAKYAT MALAYSIA – KOSMO – 7/2/18
07 Feb 2018

KOSMO ( KR1M 2.0 nafas baharu bantu rakyat malaysia ) 7.2.18

 

Hanya beberapa barangan seperti beras, roti, sabun pencuci pakaian, sayur serta sedikit barang keperluan lain dibeli penulis ketika mengunjungi sebuah pasar raya besar hujung minggu lalu tetapi jumlah yang perlu dibayar sudah mencecah lebih RM100.

Itu merupakan realiti yang ditempuhi penulis dan begitu juga kebanyakan rakyat di negara ini ketika ini. Justeru pelancaran semula Kedai Rakyat Malaysia (KRIM) 2.0 baru-baru ini sememangnya berita baik yang sangat dinanti-nantikan.

Adalah menjadi harapan rakyat, dengan adanya KRIM 2.0, masalah kos sara hidup dapat dikurangkan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengilhamkan penubuhan KRIM pada tahun 2011.

Kerajaan terpaksa menamatkan kontrak syarikat yang mengendalikan KRIM sebelum ini ekoran beberapa masalah selain didakwa menjual produk pada harga lebih tinggi daripada pasaran. Ia sekali gus gagal mencapai matlamat untuk membantu mengurangkan beban rakyat.

KRIM 2.0 menggunakan pendekatan berbeza apabila ia melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar.

Menerusi kerjasama tersebut, operasi perniagaan dikendalikan pemilik dan penjenamaan bersama.

Setakat ini ia dikendalikan oleh dua buah syarikat peruncitan iaitu Tunas Manja Group (TMG) dan KK Mart dengan menawarkan 50 barang berjenama dengan harga lebih murah daripada pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pada masa ini sebanyak 50 barangan termasuk empat barang kawalan iaitu gula, beras, tepung dan minyak masak diletakkan dalam senarai itu.
Beberapa barangan keperluan harian lain seperti serbuk minuman Milo, lampin pakai buang dan mi segera turut tersenarai.

“Jumlah barangan yang dijual dengan harga murah itu akan ditambah dari semasa ke semasa dan kita sasarkan lebih 100 barangan dapat dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding kedai biasa di rangkaian kedai KRIM 2.0 ini.

“Yang penting, semua barangan ini adalah yang berjenama dan bukannya barangan yang dibungkus semula dan dijenamakan dengan KRIM,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran KRIM 2.0 di pasar raya TMG di Temerloh, Pahang, Ahad lalu.

Menurut Hamzah, KRIM 2.0 menghapuskan peranan orang tengah kerana pengusaha akan menerima bekalan barangan terus daripada pembekal yang berdaftar dengan kementeriannya serta tidak lagi diusahakan secara francais.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bagi memastikan KRIM 2.0 mencapai matlamatnya, pihak yang berkenaan perlu memastikan beberapa perkara sentiasa dipatuhi antaranya kedai yang terlibat wajib memastikan barangan yang tersenarai sentiasa ada di rak.

“Barangan asas seperti gula, minyak, tepung, beras dan sebagainya perlu dipastikan ada sepanjang masa supaya tidak menyebabkan pembelian panik daripada pengguna.

“Selain itu, harga barangan yang dijual seharusnya berpatutan selain mempunyai jaminan baik dari segi kualiti produk serta jaminan kualiti kesihatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, perlu juga ada sistem yang mengawal selia seperti meletakkan amaun terhad pembelian supaya tidak diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti menyeludup barangan tersebut ke negara jiran.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd. Yusof Abdul Rahman berharap rakyat dapat memanfaatkan dan menyokong program KRIM 2.0 supaya syarikat yang mengendalikannya turut mendapat tempias baik daripada program yang dilaksanakan itu.

“Sebelum ini wujud stigma produk KRIM berkualiti rendah tetapi sekarang ia merupakan barangan berjenama dan berkualiti, justeru rakyat tidak perlu was-was untuk membelinya,” ujarnya.

Beliau tidak menafikan kejayaan program KRIM 2,0 memerlukan komitmen tinggi semua pihak termasuk sokongan daripada pengguna.

 

Artikel Oleh : KOSMO

KR1M 2.0 NAFAS BAHARU BANTU RAKYAT MALAYSIA