Kuala Lumpur 6 Ogos – Langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperkenalkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) versi 2.0 tidak lama lagi dilihat sebagai pendekatan proaktif kerajaan dalam membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun menyambut baik usaha kerajaan itu, namun pada masa sama perancangan lebih teliti perlu dilakukan agar keluhan pengguna berhubung isu harga di KR1M seperti sebelum ini tidak berulang.
“Kerajaan boleh belajar daripada pengalaman KR1M dan pastikan masalah sama tidak berulang. Mereka perlu mengenal pasti punca pengendali KR1M gagal menawarkan harga yang rendah termasuk adalah subsidi yang dijanjikan telah diberikan.
“KR1M satu program yang baik dan ramai pengguna telah menerima manfaatnya. Kita menyokong program KR1M 2.0 cuma bimbang isu sama akan berulang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan KR1M 2.0 dalam masa terdekat.
Jelas Nadzim, kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi menjayakan program tersebut dan akan menanggung kerugian sekiranya KRIM 2.0 gagal mencapai objektifnya.
“Kerajaan perlu mencari kaedah baharu antaranya menghapuskan cukai pengendali supaya mereka tidak terbeban dan akhirnya mempu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.