Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KWSP PERLU PRIHATIN MASALAH PENCARUM: PPIM – SINAR HARIAN – 24/12/2019
25 Dec 2019

SHAH ALAM – Persatuan pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak prihatin dengan permasalahan yang dialami boleh pencarum sehingga membebankan mereka.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, sifat kemanusiaan yang kurang dalam diri sesetengah individu terutama menjadi punca kepada permasalahan tersebut.

“Semua ini melibatkan isu kemanusiaan yang perlu dititikberatkan dalam diri kerana KWSP merupakan agensi untuk membantu bukannya menyusahkan masyarakat,” katanya.

Kelmarin, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tampil memohon maaf kepada keluarga dan pesakit kanser yang terpaksa hadir ke KWSP di Johor Bharu dalam keadaan terlantar atas katil bagi mengeluarkan wang caruman.

Kisah berkenaan tular di media sosial selepas adik kepada pesakit kanser itu memuat naik pengalaman berurusan di KWSP itu di laman Facebook.

Mengulas tentang perkara tersebut, Nadzim berkata, sekiranya pihak KWSP mempunyai budi bicara yang sewajarnya permasalahan tersebut tidak akan berlaku.

“Para pegawai harus mempunyai budi bicara dalam mengendalikan kes-kes tertentu seperti ini supaya matlamat mereka seiring dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Kalau doktor boleh datang ke rumah untuk merawat pesakit, jadi apa salahnya pihak KWSP turut bertimbang rasa untuk membuat perkara yang sama,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Nadzim berkata, pihak KWSP perlu peka terhadap permasalahan tersebut kerana ia boleh mencemarkan nama baik agensi itu.

“Saya berharap pihak KWSP memandang serius terhadap perkara ini dan sentiasa memantau setiap kerja yang dilakukan supaya kejadian ini tak berlaku lagi,” ujarnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

KWSP PERLU PRIHATIN MASALAH PENCARUM: PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/63173/BERITA/Nasional/KWSP-perlu-prihatin-masalah-pencarum-PPIM