


KUALA LUMPUR – Tabiat membuang sampah di tempat awam bukan sahaja mencemarkan persekitaran dan alam sekitar bahkan menjejaskan imej negara untuk menyambut kedatangan 43 juta pelancong dari seluruh dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bermula 1 Januari ini, sesiapa sahaja termasuk pelancong yang membuang sampah dan meludah di sekitar ibu kota, tindakan kompaun sehingga RM2,000 boleh dikenakan selain Perintah Khidmat Masyarakat melebihi 12 jam selama dua bulan.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan itu menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mendisiplin masyarakat agar lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif kerajaan itu selari dengan tuntutan Islam yang memandang tinggi terhadap aspek kebersihan, apatah lagi dalam membina jati diri rakyat yang berdisiplin.
“Hendak ke arah kebersihan ini cukup bagus, cukup pentinglah terutama dalam Islam, kebersihan ini dipandang amat penting.
“Saya menyokong kaedah ke arah disiplin membina jati diri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Terdahulu, KPKT menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) bermula 1 Januari 2026 sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat-tempat awam.
Hukuman dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan sama.
Pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat ini melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun Nadzim menyifatkan langkah KPKT untuk menguatkuasakan undang-undang baharu itu sebagai terburu-buru tanpa melakukan secara berperingkat bukan secara mengejut.
“Biarlah boleh dilaksanakan mengikut peringkat yang rakyat boleh terima. Saya rasa kita harus mendidik dan mengajar rakyat Malaysia supaya bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Nadzim, tiada jaminan undang-undang baharu itu boleh mengubah tabiat membuang sampah di tempat awam sedangkan orang ramai masih merokok di tempat awam tanpa mempedulikan denda sehingga RM10,000.
“Sekarang ini kita tengok orang merokok, walaupun merokok di tempat awam boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara namun orang ramai tetap merokok juga.
“Sekarang ini denda (buang sampah dan meludah) sehingga RM2,000, saya cadangkan lebih baiklah denda sampai RM20,000 dan ia lebih baik sebab kerajaan boleh kutip lebih banyak hasil,” katanya.
Selain itu, katanya, sebelum sesuatu undang-undang baharu mahu dikuatkuasakan, kerajaan perlu menguar-uarkan agar rakyat maklum lebih awal termasuk membuat iklan di media elektronik dan media sosial.
“Sesuatu perkara ini harus dapat sokongan semua pihak. Saya tengok sejak kebelakangan ini banyak perkara dibuat kerajaan tetapi rakyat macam tidak suka.
“Kalau nak buat benda yang ke arah disiplin, bagus tapi kena ajar maksudnya mesti ada pendidikan, jika tidak proses transformasi itu mustahil boleh berlaku,” katanya.
Beliau turut menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar tidak memperkenalkan undang-undang yang mendatangkan ‘kesusahan’ kepada rakyat.
“Kita perlu ada undang-undang yang boleh diterima pakai, bukan buat undang-undang sampai tak dapat dilaksanakan. Saya harap pengguna atau pun rakyat perlu dirujuk terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar ibu negara mendapati, ramai pihak menganggap ia masih terlalu awal untuk menilai tahap kesedaran orang ramai terhadap tabiat membuang sampah dan meludah di tempat awam.
Ia kerana sampah-sarap boleh dilihat bertaburan di merata tempat khususnya di sekitar kawasan perniagaan yang terpencil dan berdekatan pusat beli-belah di sini.

Menurut seorang penduduk di ibu kota, Jan Fazal Eladi, 40, denda atau kompaun sehingga RM2,000 bagi kesalahan membuang sampah dan meludah di tempat awam agak tinggi dan membebankan rakyat apatah lagi berdepan kos sara hidup.
“Sekarang ini kos sara hidup pun tinggi. Rakyat pun dalam kesusahan. Kalau ditambah dengan denda ini, apa nak jadi? Tapi saya harap menteri kaji balik, sebab meludah tu meludah macam mana?
“Macam mana kita nak kenal pasti meludah yang menyalahi undang-undang. Adakah ludah berkahak atau macam ada dekat selayang tu, ramai makan sirih ludah merata hingga mengotorkan tempat sekeliling,” katanya.
Jelasnya lagi, sebelum kerajaan terburu-buru memperkenalkan sesuatu undang-undang baharu, lebih baik KPKT menangani masalah sampah berlonggok di dalam sungai hingga mengakibatkan banjir kilat.
“Tetapi, sampah-sampah yang banyak di KL ni, sampai sungai pun air melimpah-limpah, patutnya perkara tu ditangani dulu, sampah di KL terlampau banyak.
“Buatlah macam percubaan dahulu sebelum kuat kuasa, kalau eksperimen ini berjaya, barulah kita boleh teruskan tetapi denda RM2,000 tu memang teruklah, membunuh rakyat.
“Sekarang ini rakyat nak makan pun tak ada duit, saya harap lebih menteri cakna dalam perkara ini,” katanya.

Bagi seorang warga emas, Mohd Zolkifli Hasan, 65, undang-undang baharu yang diperkenalkan KPKT kepada warga kota seperti dirinya agak mengejutkan dan menekan rakyat khususnya komuniti miskin.
“Kebanyakan gaji di negara ini antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja, kita bimbang denda yang tinggi boleh mengundang rakyat untuk lompat dari bangunan.
“Kadar denda sepatutnya berpatutan, kalau boleh ikut gaji sebulan, kalau menteri buang sampah sepatutnya kena denda sehingga RM30,000,” katanya.
Selain itu, Zolkifli mempersoalkan sejauh mana perbuatan meludah itu boleh dikategorikan sebagai menyalahi undang-undang dan boleh dihukum kompaun atau dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat.
“Sepatutnya perbuatan meludah itu dikategorikan dengan betul, kita memang suka undang-undang kebersihan ini tapi bagilah notis, tiga atau enam bulan dalam televisyen kalau meludah kena denda RM2,000.
“Saya duduk KL pun hari ini baru dengar. Apatah lagi orang kampung datang KL kena denda RM2,000, balik rumah dia terjun bangunan,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan perlu memberikan kesedaran dan pendidikan kepada rakyat sebelum mahu menguatkuasakan sesuatu undang-undang.
“Jangan terus denda RM2,000. Apa kerajaan tak ada duit ke? Nak kutip duit daripada budak-budak dan orang-orang miskin ini. Bagi mereka masa, bagi mereka pendidikan.
“Lepas itu dendalah mereka, tak ada masalah. Kalau mereka tak ada duit, masukkan dia dalam khidmat masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
LARANG BUANG SAMPAH BAIK TAPI KPKT KUAT KUASA TERBURU-BURU – PPIM