Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
LAUT GELORA PUNCA HARGA IKAN NAIK 15 PERATUS – UTUSAN MALAYSIA – 13/11/2022
14 Nov 2022

PETALING JAYA: Harga ikan rakyat melonjak sehingga 15 peratus sejak awal bulan ini ekoran laut bergelora dan cuaca tidak menentu ketika ini akibat daripada fasa peralihan monsun timur laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, walaupun nelayan masih turun ke laut, hasil yang diperoleh tidak begitu banyak seperti dahulu sekali gus menyebabkan bekalan berkurangan dan berlaku peningkatan harga.

Tinjauan wartawan Utusan Malaysia mendapati, harga ikan kembung di Lembah Klang kini dijual antara RM22 sehingga RM24 sekilogram berbanding RM20 sekilogram sebelum ini ekoran kekurangan bekalan ikan tersebut.

Harga itu hampir sama de­ngan senarai harga ikan di laman web Price Catcher Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menunjukkan harga kembong RM22 sekilogram.

Seorang peniaga ikan di Pasar Kajang yang mahu dikenali sebagai Kaylee berkata, kenaikan harga itu terutamanya ikan kembung dan sardin adalah ke­rana keadaan cuaca yang tidak menentu yang menyebabkan stok bekalan ikan berkurangan.

“Harga ikan dan hasil laut lain sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa terutamanya ketika musim cuaca yang tidak menentu dan selalunya ikan seperti kembung biasanya dijual dengan harga RM20 sekilogram, tetapi jika bekalan berkurang, harganya dinaikkan sedikit.

“Stok ikan yang saya peroleh pun tidak stabil, sekejap ada, sekejap tiada. Saya terpaksa menaikkan harga antara RM2 hingga RM3 sekilogram kerana bekalan yang saya dapat pun dengan harga yang tinggi,” katanya.

Ikan seperti selayang dan selar juga menunjukkan pening­katan harga apabila masing-masing dijual dengan harga RM18 dan RM14 sekilogram menerusi tinjauan di Price Catcher.

Sementara itu, seorang pengguna, Rokiah Idris berkata, walaupun ada peningkatan pada harga ikan, harganya masih munasabah dan masih bergantung pada saiz ikan.

“Tidak dinafikan, peningkatan harga ikan ini memberi ke­san dan membebankan keba­nyakan pengguna, tetapi kami tiada pilihan dan terpaksa beli juga walaupun harganya mahal,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula percaya kenaikan harga disebabkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menyimpan bekalan ikan untuk menjualnya kembali de­ngan harga yang mahal.

Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan dan pemantauan yang lebih cekap dalam perkara ini dengan me­nguatkuasakan undang-undang supaya perkara ini tidak ber­ulang lagi.

Jelasnya, pengguna juga haruslah menjadi seorang yang bijak dalam membeli dan elak membeli barang yang terkesan dengan kenaikan harga kerana jika tetap meneruskan pembe­lian, hanya peniaga yang akan mendapat keuntungan.

Sementara itu, Abdul Hamid menambah, terdapat kemungkinan hasil ikan segar yang di­bawa ke darat dan pasar-pasar di bandar harganya meningkat da­ripada hanya RM10 sekilogram dan dijual RM20 sekilogram di­sebabkan oleh kos pe­ngangkutan yang semakin ma­hal.

Namun katanya, pengguna mempunyai pilihan membeli ikan sejuk beku yang dijual dengan harga agak murah se­perti ikan cencaru, selar dan kembung yang harganya sama sepanjang masa. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

LAUT GELORA PUNCA HARGA IKAN NAIK 15 PERATUS

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/11/laut-gelora-punca-harga-ikan-naik-15-peratus/