Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MAJLIS MESYUARAT DEWAN NEGARA SERAH REVOLUSI PENIPUAN DALAM TALIAN – KOSMO – 03/10/2022
04 Oct 2022

MELAKA – Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Majlis Mesyuarat Dewan Negara akan menyerahkan beberapa resolusi kepada kerajaan bagi menangani isu penipuan dalam talian (online scam) yang semakin berleluasa di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, lima mesyuarat yang telah diadakan setakat ini berjaya merumuskan beberapa pendekatan, bukan sahaja menangani isu tersebut tetapi juga menyekat daripada berlakunya penipuan dalam talian.

Menurutnya, pihaknya telah mendapatkan maklumat daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan juga mangsa penipuan daripada Persatuan Siswazah Wanita Malaysia.

“Hasil daripada pandangan dan maklumat daripada semua pihak dirumuskan dan beberapa syor akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Berdasarkan perangkaan yang diperoleh, kes jenayah ini mencatatkan peningkatan. Usaha pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif dan memastikan isu penipuan dalam talian ini dapat diatasi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

Tambahnya, membantu adalah Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dan Persatuan Pengguna Negeri Melaka.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, resolusi itu dijangka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Negara Penggal Ketiga.

“Kes-kes penipuan dalam talian ini dilihat semakin meningkat dan membimbangkan sehingga menyebabkan rakyat mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit.

“Jadi, kita berharap resolusi ini dapat membantu negara dalam mengekang sepenuhnya kegiatan scammer ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

MAJLIS MESYUARAT DEWAN NEGARA SERAH REVOLUSI PENIPUAN DALAM TALIAN

https://www.kosmo.com.my/2022/10/03/majlis-mesyuarat-dewan-negara-serah-resolusi-penipuan-dalam-talian/