Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MAJORITI RAKYAT MAHU KERAJAAN HARAMKAN ARAK, PERJUDIAN, MINUMAN MANIS – PPIM – SAMUDERA.MY – 04/06/2022
14 Jun 2022

KUALA LUMPUR, 04 Jun 2022 – Majoriti rakyat Malaysia berpendapat Kerajaan juga harus mengenakan larangan ke atas tabiat-tabiat lain seperti larangan meminum arak dan minuman manis, perjudian, kelab malam, karaoke dan pub kepada generasi akan datang dan bukan hanya melarang rokok dan vape seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

Pendapat tersebut diperolehi melalui satu tinjauan pendapat yang dijalankan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara dalam talian yang telah berjaya mengumpul 1,000 responden.

Tinjauan pendapat dalam talian tersebut dijalankan bagi memahami pandangan orang ramai mengenai larangan untuk tabiat-tabiat negatif lain selain daripada merokok dan menggunakan vape untuk generasi yang akan datang. Hasil tinjauan mendapati:

•(89%) mahukan Kerajaan mengharamkan arak
•(69%) mahukan Kerajaan mengharamkan penjualan minuman manis
•(86%) mahukan Kerajaan mengharamkan perjudian
•(79%) mahukan Kerajaan mengharamkan operasi kelab malam, karaoke dan pub

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan larangan merokok dan penjualan rokok dan vape kepada individu yang lahir selepas 2005.

Walaupun keputusan tinjauan ini menunjukkan ramai yang inginkan Kerajaan membuat larangan ke atas tabiat-tabiat negatif yang lain, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, PPIM tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan untuk membuat larangan penuh pada penggunaan dan penjualan sesuatu barangan kepada generasi akan datang walaupun cadangan tersebut adalah bertujuan positif.

Nadzim juga berpendapat tindakan larangan tersebut akan membawa kepada masalah lain antaranya peningkatan pasaran gelap dan juga aktiviti-aktiviti jenayah yang lain. Selain daripada kesukaran dari segi penguatkuasaan, ini secara tidak langsung bakal memberi bebanan kepada agensi penguatkuasaan serta menjadikan pengguna dewasa menjadi penjenayah.

“Kita juga maklum produk-produk dan perkhidmatan lain juga memberi kesan yang negatif kepada pengguna. Sebagai contoh, arak boleh merosakkan anak bangsa, minuman manis memberikan kesan kepada kesihatan, perjudian boleh menyebabkan rakyat terjerumus dengan hutang.”

“Dan sekiranya Kerajaan bertekad untuk memperkenalkan larangan untuk merokok dan vape atas sebab kemudaratan kesihatan, ramai juga telah bersuara untuk menyaran Kerajaan mengenakan larangan yang sama untuk Kerajaan membasmi semua tabiat-tabiat yang negatif kepada generasi akan datang,” kata Nadzim dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Tinjauan ini telah dijalankan selama seminggu di laman portal http://www.ppimonlinepoll.com dan berjaya mengumpul 1,000 responden.

Artikel oleh: Samudera.my

MAJORITI RAKYAT MAHU KERAJAAN HARAMKAN ARAK, PERJUDIAN, MINUMAN MANIS – PPIM

https://www.samudera.my/majoriti-rakyat-mahu-kerajaan-haramkan-arak-perjudian-minuman-manis-ppim/