654) BERITA : Makkah bukan lokasi kaut keuntungan
04 Nov 2012
Kuala
Lumpur: Penerbit filem atau drama diingatkan jangan menjadikan Makkah lokasi
mengaut keuntungan dengan menerapkan lakonan kononnya bercirikan Islam walaupun
hakikatnya adegan dipertontonkan bertentangan dengan agama.
Lakonan
banyak menyentuh elemen percintaan, bersentuhan antara bukan muhrim turut
dilihat seperti mempersendakan Tanah Suci itu sebagai tempat beribadah dan
perhimpunan jutaan umat Islam terbesar khususnya ketika musim haji.
Setiausaha
Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata
filem dan drama seperti itu harus diperhalusi pihak berkuasa dari segi isi
kandungan dan kaedah penyampaiannya.
Katanya,
jika ia dilakonkan di tempat baik dan suci, maka bentuk lakonan dan maksud
tersirat dan tersurat daripada cerita itu mesti bertepatan dengan kehendak
Islam.
Nilai
setiap babak
“Justeru,
PPIM desak KPKK (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) dan JAKIM
(Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) nilai
semula setiap babak yang menjadikan Makkah sebagai lokasi penggambaran.
“Kebanyakan
karya dihasilkan hanya mengandungi unsur melalaikan seperti bercinta dan
bersentuhan antara bukan muhrim.
“Mereka
(pengarah dan penerbit drama atau filem) mungkin kurang jelas dari segi hukum
walaupun ia nampak sopan, tetapi cara mereka menterjemah lakonan tidak tepat
dan ada kalanya bertentangan,” katanya kepada BH.
Akhir-akhir
ini, banyak filem atau drama bersiri yang disiarkan menjadikan Makkah sebagai
lokasi penggambaran dengan banyak menerapkan elemen percintaan.
Dr
Maamor berkata, pengarah dan penerbit sepatutnya ada rasa tanggungjawab tinggi
kepada agama dalam menyiarkan setiap hasil karya mereka sama ada ia benar-benar
menepati kehendak agama atau sebaliknya.
Sementara
itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Ilmuan Malaysia (ILMU), Fathul Bari
Mat Jahaya berkata, pengarah dan penerbit perlu merujuk terlebih dulu kepada
pihak yang pakar dalam hal ehwal agama bagi menilai sama ada sesuatu adegan itu
sesuai atau tidak untuk dilakonkan di Tanah Suci.
Unsur
tidak baik
Katanya,
kegagalan berbuat demikian menjadikan lakonan banyak mengetengahkan unsur-unsur
tidak baik, tambah pula ia dibuat di tempat mulia.
“Jangan
hanya menjadikan Makkah untuk melambangkan kononnya sesebuah filem atau drama
itu seperti bercirikan Islam, tetapi bila dilihat dari segi penceritaan, penuh
dengan emosi percintaan, bersentuhan bukan muhrim dan membuka aurat, ia jelas
bertentangan.
“Malah,
pelakon yang melakonkan adegan itu harus diyakini mempunyai akhlak,
keperibadian dan pegangan agama yang kuat, supaya mereka tahu apa yang wajar
dan tidak boleh dilakonkan (ketika di Tanah Suci),” katanya.
Oleh: Mohd
Nasaruddin Parzi
Media : BERITA HARIAN
Tarikh: 3/11/12
M/S : 24
Post Views: 235