CYBERJAYA – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin Malakat Mall menyumbang kepada perkembagan ekonomi negara sekiranya konsep pusat beli-belah itu dibuka di seluruh Malaysia.
Menurut Wan Junaidi, ini kerana pusat beli-belah yang diasaskan oleh Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) itu boleh memanfaatkan lebih 6 juta ahli koperasi di seluruh negara khususnya menyokong produk keluaran tempatan.
“Saya cukup yakin kalau Malakat Mall ini boleh membuka sampai 100 cawangan misalnya satu negara, saya cukup yakin.
“Bukan menyumbang secara langsung, ia menyumbang kepada koperasi, keuntungan koperasi, pembelian koperasi dan belanja koperasi.
“Pulangannya lebih yang kita jangka dan akhirnya duit kita sendiri dibelanja di dalam negeri, bukan dibawa balik ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malakat Mall dan Penyerahan Bantuan Koperasi Dalam PKPP Covid-19, di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, Malakat Mall satu-satunya pusat beli-belah yang diasaskan oleh koperasi tempatan, sekaligus mengelakkan aliran tunai keuntungan ke luar negara.
“Kalau syarikat asing yang punyai mall, duit itu balik ke negara mereka, kadang kala keuntungan mereka jarang mereka labur balik ke tempatan.
“Tapi di sini balik kepada koperasi, koperasi itu orang tempatan, jadi situ dia boleh menyumbang kepada ekonomi dan meningkatkan tahap orang Bumiputera dan Melayu serta keseluruhan usahawan mikro dan peniaga kecil termasuk Cina dan India yang mendapat tempat untuk berniaga dalam Mall,” jelasnya.
Kementerian juga akan menggalakkan untuk mewujudkan lebih banyak konsep pasaraya seperti Malakat Mall di seluruh negara agar ekonomi tempatan berkembang dengan peranan koperasi sendiri.
“KFC contohnya itu dari luar, ayam kita punya, semua kita punya (bahan mentah).
“Tapi malang sekali keuntungan itu ke luar negara sebab KFC itu kepunyaan orang luar.
“Kalau koperasi, akhirnya duit kita dapat, keuntungan kita dapat dibelanja balik dalam negara kita dan ekonomi kita akan berkembang kerana duit itu masuk dalam sistem kewangan kita sendiri,” katanya lagi.
Artikel oleh: Malaysia Gazette
MALAKAT MALL MAMPU TINGKAT KEUNTUNGAN KOPERASI, SUMBANG KDNK NEGARA