Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MALAYSIA PUNYA HAK MENGESAN PELARIAN UNHCR – KENYATAAN MEDIA PPIM – 27/07/2022
28 Jul 2022

Kuala Lumpur, 27 Julai 2022 –  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan yang berhasrat untuk menggunakan sistem Tracking Refugees Information System (TRIS), bagi membolehkan Kementerian Dalam Negeri menjejaki semua pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kami menyambut baik keputusan kerajaan untuk menggunakan sistem yang mampu untuk memantau perkembangan seberapa ramai pelarian yang menumpang nasib di negara ini. Melalui sistem ini kerajaan akan boleh membuat verifikasi terhadap setiap pelarian dan memastikan identiti mereka itu sah,” ujar Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman.

Penggunaan sistem ini akan membolehkan kerajaan mengumpul maklumat pengenalan diri, keluarga, kesihatan, kebolehan, kemahiran, tempat tinggal dan lain-lain tambah beliau lagi.

PPIM juga difahamkan sistem ini menggunakan kaedah pengecaman wajah yang dapat mengelakkan amalan penukaran identiti dengan sewenang-wenangnya dan beberapa ciri keselamatan yang dapat menepis apa jua percubaan untuk memperdaya pihak berkuasa.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri telah mengumumkan untuk meluluskan penggunaan sistem demikian supaya semua maklumat pemegang kad UNHCR dapat dikumpulkan untuk mengesan perkembangan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata bahawa semua mereka yang ada yang telah didaftarkan dapat dikesan dan diketahui di mana mereka tinggal. Sekiranya pelarian ini ingin melakukan sesuatu kerja, kerajaan boleh mempertingkatkan beberapa polisi melalui Majlis Keselamatan Negara untuk memudahkan hasrat mereka.

Setiausaha Agung PPIM juga menambah, dengan sistem ini negara akan dapat menguruskan pelarian dengan lebih sistematik dan akan memudahkan lagi negara menyelesaikan beberapa isu yang menekan kini seperti kekurangan tenaga kerja dalam beberapa sektor seperti perladangan, pembuatan dan pembinaan.

Beliau juga menyelar dua buah pertubuhan NGO yang menentang keputusan kerajaan itu. Dua pertubuhan itu, Beyond Borders dan Alliance of The Chin Refugees mendakwa bahawa penggunaan sistem itu adalah tidak berperikemanusian dan mencerobohi hak mereka.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, kerajaan Malaysia mempunyai segala hak untuk mengetahui pergerakan semua individu selama mereka bertaraf pelarian di negara ini. Pertubuhan-pertubuhan ini tidak wajar untuk mempersoalkan tindakan kerajaan yang menjaga kepentingan semua pihak,” ujar Ma’amor lagi.

Tambah beliau lagi, sistem ini akan membolehkan mereka bergerak dengan lebih bebas tanpa kekhuatiran tindakan beberapa pihak menahan dan mengugut mereka dengan pelbagai alasan untuk memeras wang atau kepentingan-kepentingan lain. Mereka juga boleh memperolehi lesen untuk menunggang motosikal dan memandu kenderaan lain dengan aman serta berpeluang untuk menambah rezeki selama mereka berada di sini.

Pelarian UNHCR yang berdaftar dalam sistem ini juga akan dapat membuka akaun bank sendiri serta boleh menyertai skim insuran dan takaful berdaftar untuk mendapatkan perlindungan yang sewajarnya.

TRIS, kata Ma’amor lagi, akan memudahkan mereka untuk keluar ke negara ketiga atau negara asal apabila keadaan mengizinkan dengan lebih tersusun kerana semua maklumat tentang mereka ada dalam sistem data kerajaan.