Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MALAYSIA TERLIBAT BIOLOGI COVID-19? – UTUSAN MALAYSIA – 14/07/2022
14 Jul 2022

PETALING JAYA: Penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia yang dikaitkan dengan program pembangunan senjata biologi oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) menerusi dana sulit kepada sebuah makmal biologi di Wuhan, China didakwa turut melibatkan pe­nyertaan beberapa institusi ke­sihatan di Malaysia.

Perkara tersebut didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan kepada Utusan Malaysia dengan turut menyertakan sebuah dokumen setebal 376 muka surat yang didakwa mengandungi butiran terperinci kerjasama dari sebu­ah pertubuhan mewakili Pentagon iaitu Eco Health Alliance kepada beberapa institusi kesihatan di sini.

Untuk rekod, penglibatan Eco Health Alliance dalam program pembangunan senjata biologi berkaitan virus Covid-19 lagi jelas apabila akhbar New York Post menerusi laporan siasatan berjudul “Pentagon gave millions to EcoHealth Alliance for weapons research program” mendedahkan Eco Health Alliance adalah proksi kepada Pentagon.

Laporan New York Post itu turut menyebut, pertubuhan itu menerima berpuluh juta dolar dari Pentagon untuk disalurkan kepada sebuah makmal di Wuhan yang kemudian menjadi pusat utama penyebaran wabak Covid-19 ke serata dunia.

Mengulas perkara itu, Nadzim mempersoalkan berlaku jejak wang dan jejak dokumen (paper trail and money trail) dari Eco Health Alliance kepada beberapa institusi kesihatan di Malaysia dan meminta penjelasan pihak berwajib mengenai dakwaan kerjasama itu.

Nadzim mendakwa, semua institusi kesihatan yang didakwa terlibat dengan projek Eco Health Alliance tersebut membabitkan dua kriteria penting iaitu terletak di negeri yang mempunyai beberapa buah gua selain didiami kelawar.

“Kita ingin bertanya kepada institusi di bawah kementerian yang didakwa terlibat, pertama adakah mereka tahu latar belakang Eco Health Alliance?

“Adakah mereka tahu bahawa ada satu rang undang-undang yang diusulkan oleh Kongres AS, bertarikh 28 Januari 2021, yang menggesa kerajaan AS menghentikan pembiayaan kepada Eco Health Alliance, kera­na pertubuhan itu disyaki terlibat membantu Pentagon dalam menghasilkan wabak Covid-19.

“Kini, melalui dokumen di­perolehi, ada money trail dan paper trail menunjukkan bahawa terdapat beberapa surat kerjasama yang dihantar oleh institusi kesihatan di Malaysia kepada Eco Health Alliance.

“Jadi kita harap pihak di negara ini yang dikaitkan dapat jawab, sebelum mereka bersetuju hantar surat kerjasama kepada Eco Health Alliance, adakah mereka buat kajian latar belakang pertubuhan itu?” katanya.

Dalam isu membabitkan rang undang-undang yang diusulkan kepada pihak Kongres AS, Nadzim merujuk kepada bill berjudul “H.R.591 – Defund EcoHealth Alliance Act”, dalam laman web https://www.congress.gov/bill/117th-congress/house-bill/591?s=1&r=2.

Akhbar ini menyemak isi kan­dungan dokumen tersebut dan mendapati selain beberapa ins­titusi kesihatan di Malaysia yang dikaitkan dengan Eco Health Alliance, negara lain turut didakwa ‘terjebak’ ialah beberapa institusi kesihatan di Thailand dan Singapura.

Dalam surat kerjasama yang dihantar, institusi-institusi di Malaysia, Thailand dan Si­nga­­pura didakwa menyata­kan ba­ha­wa antara bentuk ka­jian de­ngan Eco Health Alliance ter­ma­suk: “perkongsian tek­nologi, sampel, reagen, data dan hasil penyelidikan. Penyelidikan yang dicadang­kan akan memajukan pemahaman kita ten­tang keupayaan co­ronavirus, henipavirus dan filovirus asal hidupan liar untuk merebak ke dalam populasi manusia dan menyebabkan penyakit yang mungkin sebelum ini tidak dilaporkan atau tidak didiagnosis.”

Akhbar ini turut menghubungi beberapa klinik kesihatan ser­ta hospital yang didakwa menghantar surat kerjasama kepada pertubuhan tersebut – masing-masing dihantar pada bulan Jun 2019 – iaitu beberapa bulan sebelum virus Covid-19 mula muncul di Wuhan.

Wakil dari sebuah klinik kesihatan yang dikaitkan dengan surat kerjasama itu berkata, memang terdapat doktor di klinik itu menulis surat tersebut kepada Eco Health Alliance.

“Salam dan selamat pagi. Saya sudah sahkan dengan tuan punya surat. Memang surat ini ada dia tulis,” kata jurucakap klinik tersebut melalui kiriman WhatsApp.

Utusan Malaysia juga kini berusaha mendapatkan penjelasan dari klinik dan hospital lain yang dikaitkan dengan pertubuhan berpusat di New York.

Selain itu, akhbar ini telah menghubungi pihak Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, dan masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

Dalam pada itu, Nadzim meminta pihak yang terlibat dalam projek kajian yang kontroversi sebegitu supaya tampil memberi penjelasan, kerana ini berpotensi mengancam keselamatan dan kedaulatan negara lebih-lebih lagi kerana melibatkan penularan wabak Covid-19 yang berskala global.

Sejak penularan wabak Co­vid-19, beberapa pihak berautoriti di seluruh dunia tampil menggesa siasatan dibuat, kerana mendakwa virus itu dicipta dalam makmal melalui kajian perisikan dan pertahanan AS.

Antaranya, Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (PNAS), iaitu salah satu “jurnal saintifik pelbagai disiplin yang paling banyak dipetik dan komprehensif di dunia”, dalam rencana berjudul “A call for an independent inquiry into the origin of the SARS-CoV-2 virus”, mendakwa peranan Amerika dalam penciptaan virus dan mendesak siasatan bebas tentang kemungkinan itu.

Malah, kertas kerja PNAS juga membentangkan beberapa bukti bahawa virus Co­vid-19 telah direka bentuk secara buatan dalam makmal. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

MALAYSIA TERLIBAT BIOLOGI COVID-19?

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/malaysia-terlibat-biologi-covid-19/