Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, usaha mengesan individu yang menjadi mangsa diskriminasi tersebut perlu diteruskan bagi memastikan tiada lagi hotel yang berdegil.
“Oleh itu, para pekerja hotel yang masih menjadi mangsa polisi tersebut diminta tampil membuat aduan rasmi sama ada kepada kementerian atau kesatuan pekerja yang terdekat bagi menyelesaikan isu ini.
“Keputusan 13 buah hotel untuk menarik semula prosedur operasi standard (SOP) melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung adalah sesuatu yang tepat dan berharap supaya lebih banyak lagi hotel melakukan hal yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Datuk Mohd. Jeffry Joakim mengesahkan kesemua 13 hotel di Semenanjung bersetuju menarik semula polisi larangan bertudung.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim, Nurul Suhadah Shuib berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan hotel-hotel terbabit dan berharap tindakan diambil adalah berterusan.
“Alhamdulillah, terima kasih atas kerjasama daripada pihak hotel yang terlibat. Keputusan itu tidak akan merugikan sesiapa sama ada pengusaha hotel mahupun pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, keputusan yang diambil tersebut merupakan sesuatu yang tepat berdasarkan kepentingan semua pihak.
“Memang patut pun hotel-hotel itu menarik semula polisi larangan bertudung kerana mereka tidak sepatutnya mementingkan perniagaan semata-mata, sebaliknya menghormati Perlembagaan,” katanya.