Naib Presiden merangkap Pengerusi Biro Hal Ehwal Agama Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah mendakwa, iklan yang disiarkan dalam ruangan Restaurant Openings itu jelas menyentuh sensitiviti umat Islam yang merupakan antara pelanggan utama syarikat tersebut.
“Apakah MAS yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan Malaysia tidak lagi mempunyai sumber-sumber lain untuk menjana pendapatan?
“Pihak MAS perlu prihatin dan peka dengan sensitiviti umat Islam, paparan gambar daging stik babi dalam iklan tersebut amatlah menggusarkan umat Islam. Apakah tiada lagi makanan lain yang boleh diiklankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, jelas Dr. Amini Amir, MAS perlu meminta maaf kepada umat Islam dan perlu memastikan perkara tersebut tidak lagi berulang.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, semua pihak khususnya rakyat Malaysia sendiri perlu prihatin dengan keadaan persekitaran di negara ini termasuk akur dan menghormati bahawa Islam merupakan agama Persekutuan.
“Apa ertinya agama Islam sebagai agama Persekutuan jika tidak terlaksana, ia ada maknanya supaya dihormati. Apa juga yang terjadi kita kena sensitif dengan perasaan orang lain, cukup penting untuk memahami antara satu sama lain jika tidak akan timbul perselisihan.
“Sekiranya perkara sebegini dibiar berlarutan tentunya tidak akan membawa kebaikan kepada negara kita, masing-masing perlu menasihati antara satu sama lain dan saling faham-memahami. Saya amat berharap supaya perkara sebegini tidak diulangi lagi,” katanya.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya juga berkata, pihak pengurusan MAS wajar mengambil tindakan segera dan lebih sensitif pada masa hadapan supaya isu seperti itu tidak berulang.
“Sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional, isu-isu sensitif seperti ini mesti disingkirkan. Janganlah hanya mengutamakan kepentingan penumpang-penumpang barat dan bukan Islam sahaja sedangkan penumpang dari Malaysia yang beragama Islam lebih ramai.
“MAS wajar mengambil contoh beberapa syarikat penerbangan dari negara-negara lain yang sentiasa mengutamakan budaya negara mereka, kita sahaja yang berlebih-lebih,” katanya.