KUALA LUMPUR 26 Okt. – Masyarakat perlu menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan melaporkan aktiviti yang dipercayai berselindung di sebalik perniagaan sah bagi memastikan transaksi wang haram berjumlah berbilion ringgit berjaya digagalkan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johanberkata, apa juga kegiatan sindiket haram tidak akan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi sekiranya pihak berkuasa tidak mempunyai maklumat mencukupi.
“Saya berharap semua pihak dapat membantu memberikan maklumat sekiranya mereka mendapat informasi yang berguna bagi memudahkan penguat kuasa menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan secara sistematik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam masa sama, PPIM mendesak pihak berwajib memperketatkan undang-undang sedia ada dan menjalankan pemantauan berkala.
“Kegiatan jenayah ini jika dibiarkan boleh menjejaskan ekonomi dan reputasi negara. Siasatan dan tindakan susulan perlu dilakukan secara berterusan dalam memastikan individu terbabit menerima hukuman yang setimpal.
“Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga disaran menjalankan siasatan dan meneliti senarai perniagaan yang gagal untuk membayar cukai, tidak mustahil mereka ini mungkin turut terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang lebih agresif dan proaktif dalam membendung isu melibatkan sindiket haram.
“Anggota berwajib harus memandang serius hal ini dan tidak mengambil jalan mudah untuk membanterasnya. Jangan lagi mengamalkan sikap ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’ yang menyebabkan sindiket seperti ini terus bermaharajalela sehingga kini.
“Saya menyarankan pihak berwajib menggunakan pelbagai pendekatan yang khusus seperti memperbanyakkan anggota profesional, kelengkapan peralatan atau teknologi terkini dan juga ilmu pengetahuan tinggi agar isu ini dapat dibanteras segera,” katanya.