Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MELAYU PALING RAMAI TERJEBAK AH LONG – UTUSAN MALAYSIA – 09/01/2022
10 Jan 2022

PETALING JAYA: Kira-kira 80 peratus daripada 7,000 peminjam syarikat tidak berlesen atau ah long sepanjang tahun lalu adalah orang Melayu manakala selebihnya kaum-kaum lain.

Lebih membimbangkan, bilangan peminjam baharu dikatakan mencapai 450 hingga 650 sebulan, malah ada peminjam yang mendapatkan khidmat lebih 20 ah long dalam tempoh tersebut dalam istilah ‘gali lubang, tutup lubang’.

Mereka yang mendapatkan pinjaman itu terdiri kontraktor, ahli perniagaan dan orang perseorangan yang memilih jalan penyelesaian masalah kewangan selepas permohonan mendapatkan pinjaman bank tidak berjaya atas alasan antaranya tidak menepati syarat.

Bercakap kepada Mingguan Ma­laysia, Pengurus Unit Aduan Ah Long, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Mirzan berkata, setiap hari pihaknya menerima 20 hingga 30 aduan menjadikan purata 450 hingga 650 aduan sebulan daripada peminjam yang terjebak dengan pinjaman ah long.

Bagaimanapun katanya, rata-rata alasan yang diberikan juga adalah bagi meneruskan kelangsungan hidup dan hilang punca pendapatan dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Kebanyakan alasan yang kita terima setakat 2021 adalah kerana hilang punca pendapatan akibat Covid-19.

“Ada peminjam yang me­mang terdesak dan susah, ada ahli perniagaan, ada pe­nagih dadah, kaki judi, main perempuan, tetapi kebanyakan alasan yang kita terima setakat 2021 adalah kerana hilang punca pendapatan akibat Covid-19.

“Jadi apabila tak lepas buat pinjaman dari bank, maka dalam keadaan terdesak ada tawaran dari ah long dan pinjaman yang pantas apabila boleh menerima wang dalam hanya lima minit, maka sebab itu mereka terjebak

“Peningkatan peminjam juga mengikut bulan. Con­tohnya jika sebelum Covid-19, kebanyakan aduan meningkat apabila tiba hujung tahun untuk bawa anak-anak bercuti, musim perayaan bagi persiapan dan masa-masa anak masuk belajar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, kata beliau, rata-rata peminjam yang hadir membuat aduan juga kebanyakannya membuat pinjaman lebih daripada 20 ah long bagi mendapatkan jumlah yang mereka mahukan.

“Contohnya ada seorang pengadu terpaksa sediakan RM10,000 ribu untuk bil rawatan pembedahan otak kakaknya, jadi untuk menyelamatkan kakaknya (maka dia terjebak dengan ah long).

“Tetapi, ah long tak akan bagi RM10,000 apabila mohon RM10,000 kerana tolak siap-siap faedahnya, jadi dia hanya dapat RM7,000 dan kurang lagi RM3,000.

“Maka perlu pinjam ah long lain sehingga sedar-sedar dah pinjam lima ah long dan selepas itu ah long pertama mungkin minta bayar semula, maka pinjam pula ah long keenam dan kesudahannya gali lubang tutup lubang lah

“Dan paling banyak saya uruskan adalah seorang pengadu itu mempunyai 114 orang, jadi paling sedikit pun pengadu meminjam pada lima hingga lapan ah long dan itu perkara biasa,” ujarnya.

Menurut Muhammad Mirzan, PPIM juga hanya mampu membantu dari segi rundingan seperti peng­urusan, pentadbiran pembayaran, rundingan dan perbincangan sekali gus menjadi wakil peminjam berurusan dengan pihak ah long.

“PPIM akan jadi orang tengah berurusan dari awal sampai habis dengan ah long, maka peminjam tak perlu berhubung dengan ah long.

“Jadi kita minta buatkan jadual pembayaran baru, minta diskaun dan hentikan caj bunga satu hari 10 peratus, tetapi apa pun tetap kena bayar,” katanya.

Tambah beliau, Pihaknya juga menjangkakan trend meminjam kepada ah long itu akan berlarutan kerana permintaan tetap ada.

Katanya, meskipun seseorang itu mempunyai ilmu dan kesedaran terhadap bahana ah long, tetapi ia tetap menjadi keperluan dalam keadaan mendesak. “Kita tak salahkan peminjam 100 peratus kerana faham mereka alami kesukaran, tetapi kita tak benarkan dan tak sokong, namun siapa yang membuat pinjaman dan perlu akan bantuan PPIM, Insya Allah kita bantu,” jelasnya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

MELAYU PALING RAMAI TERJEBAK AH LONG

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/01/melayu-paling-ramai-terjebak-ah-long/