PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA (PPIM) dan masyarakat Malaysia khususnya umat Islam tidak akan sesekali melupakan tragedi berdarah yang telah dilakukan oleh Zionis Israel terhadap masyarakat awam dalam peristiwa serangan ke atas Freedom Flotilla pada 31 Mei 2010 lalu.
Dalam insiden serangan kejam itu, tentera rejim Zionis tanpa sebarang notis telah menceroboh dan menyerang Mavi Marmara, sebuah kapal Turki konvoi Flotilla yang membawa misi bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza sehingga mengakibatkan 16 orang terbunuh termasuk sembilan aktivis Turki manakala 30 orang lagi turut tercedera. Meskipun genap 11 tahun tragedi berdarah itu telah berlaku, peritnya masih diingati oleh setiap masyarakat Islam di seluruh negara.
Ketua Aktivis PPIM, toqqi@nadzim johan dalam satu sesi diskusi siaran langsung menerusi akaun Facebook PPIM berpesan, masyarakat Islam perlu berpegang teguh dengan prinsip yang seutuhnya dalam membantu saudara sesama Islam yang sedang ditindas. Tanpa pegangan akidah yang kuat, tidak mungkin masyarakat Islam kini dapat bersatu dalam melawan segala bentuk kekejaman Zionis Israel.
“Disebabkan kita terlalu lemah, kita selalu dihina. Jika soal akidah juga boleh digugat, sedar atau tidak sedar kita sebenarnya telah mengundang sendiri penjajahan dalam diri kita,” kata beliau dalam sesi diskusi yang telah berlangsung semalam.
Turut hadir, Ketua Misi Flotilla Mavi Marmara Pasukan Asia Tenggara, Dr Noorazman Mohd Samsuddin serta Dato Hishammudin Hashim yang merupakan Setiausaha Agung MHO, menceritakan kembali detik-detik keperitan tragedi berdarah itu semasa mereka menyertai misi kemanusiaan Kapal Mavi Marmara pada 31 Mei 2010 yang lalu.
Artikel oleh: Samudera.my
MEMPERINGATI 11 TAHUN TRAGEDU KAPAL MAVI MARMARA – PPIM
https://www.samudera.my/memperingati-11-tahun-tragedi-kapal-mavi-marmara-ppim/