Pendedahan ini turut memanggil banyak pihak untuk menghujah keesahan serta kekurangan yang wujud dalam sindiket ‘pajak kereta’.
Secara mudahnya, sindiket ‘sambung bayar’ kereta atau ‘pajak kereta’ berlaku apabila peminjam memberikan kereta yang mereka beli melalui sistem sewa beli kepada pemberi pinjaman wang berlesen.
Memandangkan peminjam ‘memajakkan’ kereta yang masih menjadi subjek kepada pinjaman kenderaan daripada mana-mana bank, pemberi pinjaman menjanjikan bahawa kereta mereka akan disewakan dan wang sewaan akan digunakan untuk membuat bayaran ansuran bulanan kepada bank untuk jumlah tertunggak di bawah pinjaman kenderaan itu.
Hal ini seperti sudah menjadi kebiasaan di Malaysia dan mungkin berlaku disebabkan beberapa alasan seperti desakan hidup atau kesukaran memperoleh pinjaman bank secara sah.
Malangnya, menurut pendedahan yang kerap dilakukan oleh PPIM, seringkali kereta yang ‘dipajakkan’ tidak disewakan dan ansuran bulan kepada bank di bawah pinjaman kenderaan tidak dijelaskan.
Akibatnya, pihak bank akan mengambil tindakan terhadap peminjam yang bukan saja kini dibebani dengan hutang di bawah pinjaman kenderaan tetapi juga ditambah dengan masalah mendapatkan semula kereta mereka dari pemberi pinjaman.
Hakikatnya, sindiket pajak kereta ini lebih mendatangkan bencana kepada pengguna berbanding kebaikan. Malahan budaya ini bertentangan dengan undang-undang di bawah Seksyen 36A, Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212) yang jelas memperuntukkan bahawa: “Mana-mana pemunya, peniaga, ejen atau orang yang bertindak bagi pihak pemilik yang mengumpul apa-apa bayaran berkenaan dengan perjanjian sewa-beli selain daripada bayaran yang disenaraikan dalam Jadual Kedua atau bayaran yang dibenarkan di bawah Akta ini adalah melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini.”
Kebanyakan peminjam mungkin memandang ringan impak yang akan dihadapi oleh mereka apabila menyerahkan kenderaan kepada orang lain untuk disambung bayar, sehingga boleh menyebabkan peminjam jatuh bankrap, harta benda dilelong dan sebagainya.
Tindakan PPIM dalam meningkatkan kesedaran pengguna terhadap bahaya sindiket pajak kereta ini telah dimulakan lama dahulu dan masih berterusan. Tindakan berani PPIM dalam membantu peminjam dan pengguna bagi mendapatkan semula kenderaan mereka di salah sebuah premis kenderaan di Kajang baru-baru ini harus diberi pujian.
Malangnya, terdapat beberapa kecaman dan aduan pula yang dilontarkan untuk mengkritik tindakan PPIM ini. Kritikan terhadap PPIM amat dikesali dan diragui lebih-lebih lagi memandangkan PPIM telah banyak membantu ramai pengguna untuk mendapatkan hak mereka.
Penulis berpendapat, walaupun terdapat aduan untuk menyiasat PPIM atas dakwaan menceroboh, pihak berkuasa juga masih perlu menyiasat aduan penipuan yang telah dibuat oleh pemilik-pemilik kenderaan yang mendakwa telah diperdaya oleh sindiket pajak kereta ini dan jika benar terdapat kecurangan dilakukan, tindakan harus diambil dan mereka yang terbabit hendaklah dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.
Penulis menggesa pihak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang mengendalikan perniagaan tidak sah serta berganding bahu bersama-sama dengan PPIM dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna dalam isu sindiket pajak kenderaan ini.
Penulis turut menggesa agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu ini jika terdapat unsur salah guna kuasa dan rasuah supaya masalah ini dibanteras dari peringkat akar umbi.
Masyarakat hendaklah bersatu dalam isu meningkatkan hak-hak pengguna demi memperkukuhkan kuasa pengguna di Malaysia.
Jika sindiket dan sistem pinjaman yang tidak sah masih dibiarkan berleluasa di Malaysia, hal ini hanya akan membenarkan hak pengguna terusan ditindas oleh mereka yang mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup peminjam wang.
Lebih-lebih lagi memandangkan pemberi pinjaman wang sering kali menggunakan elemen kekerasan dan paksaan ke atas mereka yang dilihat lemah.
Jalan untuk menaikkan kuasa pengguna adalah dengan menghentikan era dominasi pemberi pinjaman wang secara tidak sah yang hanya mampu wujud dek kerana masyarakat masih memberi muka iaitu membenarkan pihak terbabit meneruskan penindasan ke atas peminjam.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).