TTP adalah suatu badan adjudikasi bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan mula berkuat kuasa pada 15 November 1999. Di bawah Seksyen 91 Akta 599, pengguna boleh membuat tuntutan kepada mana-mana individu atau syarikat berkaitan dengan aduan melibatkan barang yang dibeli atau perkhidmatan yang digajikan selagi tuntutan tersebut tidak melebihi RM25,000.
Sebelum penubuhan TTP, semua pertikaian antara pengguna dan peniaga, pembekal atau pengilang barang atau pembekal perkhidmatan terpaksa dibawa ke mahkamah yang melibatkan prosedur rumit, kos tinggi dan memakan masa panjang. Ini antara beberapa sebab pengguna keberatan untuk membuat tuntutan terhadap peniaga atau pembekal perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab dan beretika.
Memahami keadaan ini, TTP ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif selain mahkamah sivil untuk pengguna menuntut ganti rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan dengan cara yang lebih mesra pengguna. Bagaimanapun pengguna harus bertindak segera kerana had masa untuk mengambil tindakan di TTP adalah jauh lebih pendek berbanding had masa yang dibenarkan untuk memulakan tindakan di mahkamah. Di TTP, aduan mesti difailkan dalam masa tiga tahun dari tempoh kausa tindakan itu terakru sedangkan di mahkamah, tempoh masa untuk memfailkan saman di mahkamah adalah enam tahun.
Selain itu, di bawah Bahagian II dan III Akta 599, pengguna yang mempunyai aduan berkaitan dengan barang atau perkhidmatan yang dikatakan tidak selamat, palsu, mengelirukan atau memperdaya boleh memfailkan aduan terus kepada KPDNKK melalui telefon, laman web, surat atau datang ke Pusat Pengurusan Aduan Pengguna (PPAP) yang ada di setiap daerah. Seksyen 25 Akta 559 memperuntukkan hukuman bagi sabitan kesalahan, yang mana jika peniaga atau pembekal perkhidmatan didapati melanggar peruntukan Bahagian II dan III, seseorang pesalah persendirian boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun. Jika peniaga adalah sebuah syarikat, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000. Denda yang tinggi sepatutnya dilihat sebagai langkah pencegahan pelanggaran hak pengguna.
Pengguna juga boleh bergiat aktif dalam NGO yang melibatkan kepenggunaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) demi memartabatkan hak pengguna di Malaysia, terutama bagi mereka yang beragama Islam. Penglibatan pengguna secara halus akan mendesak pihak peniaga atau pembekal perkhidmatan untuk mempertimbangkan kepentingan dan hak pengguna dalam barangan dan perkhidmatan mereka. Inilah senario yang dapat dilihat daripada insiden penjualan berus babi, bilamana akhirnya peniaga-peniaga bersetuju untuk mempamerkan label yang jelas tentang kandungan barangan yang dijual bagi menghormati desakan pengguna Islam.
Kegiatan aktivisme juga akan menekan pihak kerajaan untuk membentuk dasar yang lebih menguntungkan pengguna. Ini disahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam penyataan di Parlimen pada 18 Mei 2016. Menurut beliau, kerajaan turut memainkan peranan dalam meningkatkan tadbir urus yang baik dalam kalangan komuniti perniagaan melalui mekanisme sokongan, galakan dan promosi melalui program-program seperti latihan dan seminar, mewujudkan Kod Etika Perniagaan Malaysia, pembangunan Instrumen Penilaian Integriti Penjaja dan Peniaga Kecil serta pelaksanaan Ikrar Integriti Korporat.
Kesedaran hak pengguna adalah penting bagi memastikan industri perkilangan dan pembekal perkhidmatan menitikberatkan kualiti dan keselamatan dalam produk mereka. Ini bukan sahaja akan meletakkan kuasa beli rakyat Malaysia tepat pada tempatnya, bahkan akan melancarkan lagi pembangunan perdagangan dalam negara kita.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).