CYBERJAYA – Kempen ‘Make Muslim Great Again’ (MMGA) mensasakan satu juta penglibatan anak muda menerusi platform KitaCool.com dalam mengembalikan kegemilangan ekonomi Islam.
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, kempen kesedaran ini digerakkan oleh Malakat Mall dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setelah melihat golongan belia kini seakan terpisah daripada perjuangan membangkitkan ekonomi Islam.
“Kalau dilihat anak muda kini lebih mengagung-agungkan budaya bukan Islam malah ada di kalangan mereka ini tidak tahu pun bahawa Islam memiliki sejarah yang hebat.
“Penglibatan anak muda dalam pembangunan ekonomi Islam juga tidak begitu memberangsangkan dan itu boleh dilihat menerusi penyertaan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) di mana hanya 10 peratus ahli adalah di kalangan anak muda.
“Jadi melalui platform ini dengan mengambil inspirasi program Rakan Muda, kita mahu memberi kesedaran kepada mereka bahawa menjadi sorang Muslimjuga ‘cool’ dan boleh juga menjadi ‘trendsetter'”, katanya pada majlis Pelancaran Kempen MMGA di Malakat Mall di sini hari ini.
Jelasnya, sebagai permulaan, kempen MMGA akan dimulakan dengan beberapa pengisian mengenai kehebatan Islam melalui video, poster, bahan penulisan dan sebagainya.
“Ke semua material yang akan disediakan di platform KitaCool.com mengikut konsep terkini agar lebih dekat dengan citarasa anak muda.
“Anak muda berusia 15 tahun ke atas boleh terus mendaftar di KitaCool.com untuk sertai kempen ini,” katanya.
Menurutnya, melalui MMGA anak muda akan dibantu dalam pelbagai sudut agar golongan ini akan dianggap sebagai ‘trendsetter’ seperti mana zaman kegemilangan Islam yang dahulu.
“Kita tahu anak-anak muda jini risau, kos pendidikan yang tinggi dan peluang pekerjaan terhad dan peluang perniagaan pun tiada.
“Jadi melalui KoPPIM kita telah mulakan beberapa projek strategik di Malakat Mall dan beberapa program pembangunan termasuklah bidang keusahawanan,” katanya.
Katanya, Malakat Mall akan menjadi pusat komuniti dalam menggerakkan kempen tersebut.
“Program pertama yang kita akan laksanakan bermula awal Julai ini adalah program Be Muhammad yang mana menyediakan kelas berkaitan solat dan zakat secara percuma.
“Bila solat lima waktu dijaga dan difaham dengan betul, Insya-Allah anak muda akan beri kehidupan yang baik di dunia dan akhirat.
“Selain itu, untuk akan datang kita akan menjalankan pelbagai aktiviti antaranya sukan, muzik, kebudayaan dan sebagainya,” katanya yang merancang untuk melancarkan MMGA fasa kedua di Indonesia.
Artikel oleh: Malakat Tribune
MMGA FOKUS ANAK MUDA KEMBALIKAN KEGEMILANGAN ISLAM
http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/16139/