Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MUSLIM CARE MALAYSIA HANTAR TIGA TRELER PENUH PELBAGAI BANTUAN KE GAZA – BERITA HARIAN – 28/10/2023
28 Oct 2023

KUALA LUMPUR: Tiga treler membawa barangan perubatan, makanan dan minuman keseluruhannya bernilai AS$1.5 juta (RM7.2 juta) yang sebahagiannya disumbangkan rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin, akan bertolak ke sempadan Mesir-Palestin menuju Gaza, selewat-lewatnya Isnin ini.

Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd Johari Ismail, berkata kerja memasukkan barangan bantuan kecemasan itu ke dalam kotak dan memuat naik ke atas lori mula dilakukan semalam dengan dibantu sukarelawannya yang berada di bandar Kaherah, Mesir sejak 10 hari lalu.

Katanya, pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 untuk pembelian barangan perubatan, makanan dan minuman itu daripada RM1.5 juta yang dibelanjakan untuk bantuan kecemasan Palestin.

“Majoriti sumbangan disalurkan terus kepada MCM Palestin di Gaza yang diketuai penduduk tempatan, Ahmad Abu Ayesh.

“Bagi bantuan dari Mesir pula MCM dan Muslim Care Egypt bergabung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa atau gerakan kemanusiaan antarabangsa, ‘Miles of Smiles’ yang berpejabat di London dan turut dianggotai NGO dari United Kingdom, Jordan, Turkiye dan Sweden,” katanya.

Mohd Johari berkata, antara makanan yang akan dihantar ke Gaza ialah daging, ikan dan kacang dalam tin, tepung gandum, keju, serbuk teh, manisan serta air minuman di dalam botol.

“Barangan itu dimasukkan ke dalam kotak kecil yang setiap satu seberat lapan kilogram,” katanya yang mengetuai pasukan MCM membabitkan tiga orang.

Turut serta Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar dan EXCO Media, Tuan Asri Tuan Hussein.

Mohd Johari berkata, barangan perubatan pula termasuk pembalut luka, kerusi roda, katil, pengusung beroda, tongkat, alat pengimbas serta mesin elektrokardiogram (ECG) untuk rawatan jantung.

Katanya, tiga treler setiap satu sepanjang 12 meter akan bertolak dari Kaherah ke bandar Al-Arish yang terletak 45 kilometer dari lintasan Rafah yang memisahkan Mesir dan Gaza.

“Al-Arish kini menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan untuk ke Gaza dan sebuah stadium digunakan untuk tujuan itu.

“Malah, kerajaan Mesir bercadang membuka hospital medan di bandar itu sebelum melonggarkan kawalan pintu sempadan untuk merawat ribuan rakyat Palestin yang cedera,” katanya.

Sementara itu katanya, kemasukan lori membawa bantuan kecemasan ke Gaza masih terhad.

“Setakat ini hanya 74 lori membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan dibenarkan melepasi lintasan Rafah manakala beratus-ratus lori lagi beratur di pintu sempadan menunggu giliran.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, pihak ‘Miles of Smiles’ turut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Mesir untuk merancang kerjasama.

“Kami diberitahu petugas mereka juga tidak dibenarkan masuk ke Gaza, hanya barangan bantuan dibenarkan. PBSM Mesir juga kini memusatkan operasi dan bantuan kecemasan mereka di Al-Arish.

“Hal ini sedikit mengecewakan MCM kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Mesir untuk menyertai konvoi tiga treler itu ke Al-Arish,” katanya.

Katanya, tugas dan amanah rakyat Malaysia tetap kami laksanakan dan selepas mereka pulang pada Sabtu, pasukan MCM lain akan menyambung tugas untuk fasa berikutnya.

“Pastinya, fokus kami selepas ini ialah untuk ke Al-Arish dan seterusnya masuk ke Gaza jika mendapat lampu hijau,” katanya.

Beliau berkata, turut berkolaborasi dengan MCM untuk bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin dalam perang kali ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Pertubuhan Khidmat Umah (PKU) dan One Nation.

Selain itu, MCM turut menyertai Ops Ihsan dikoordinasikan Wisma Putra dengan gabungan 45 NGO Malaysia membabitkan penghantaran bantuan kecemasan sebanyak 50 tan bernilai RM7 juta dengan menggunakan pesawat udara yang dijadual terbang ke Al-Arish pada Jumaat ini.

Artikel oleh: Berita Harian

MUSLIM CARE MALAYSIA HANTAR TIGA TRELER PENUH PELBAGAI BANTUAN KE GAZA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/10/1170135/muslim-care-malaysia-hantar-tiga-treler-penuh-pelbagai-bantuan-ke