Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘MUSLIM FRIENDLY’ BUKAN SEKADAR PRODUK – PPIM – 14/04/2021
14 Apr 2021

Amat menarik perhatian apabila seorang artis terkemuka negara baru-baru ini melancarkan produk keluarannya dan perakukan sendiri akan produknya yang mesra Muslim atau Muslim Friendly. Beliau seolah-olah telah membuka lembaran baru dalam perakuan sendiri (self-endorsement) produk untuk menarik pasaran khususnya pasaran Muslim.

Namun, tanpa disedari umum, istilah Muslim Friendly sebenarnya telah berlegar di kalangan masyarakat sejak tahun 2007 lagi di mana Persatuan Pengguna Islam Malaysia, PPIM, telah memberikan tafsiran yang jelas dari perspektif sistem dan tatacara pengurusan sesebuah organisasi dengan mengambil kira kepentingan masyarakat Muslim dari segenap peringkat; bukan dari sudut produk dan pelanggan sahaja. Malah pihak kerajaan pula telah memperkenalkan satu standard pengurusan dari perspektif Islam untuk pensijilan dalam sektor pelancongan iaitu MS2610:2015; Muslim Friendly Hospitality Services. 

Baru-baru ini, syarikat Notion Venture telah meraih perakuan sebagai sebuah organisasi ‘Muslim Friendly’ atau Mesra Muslim dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia melalui protokol Muslim Friendly Halal Excellence (MuFHE) yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Standard dalam Islam atau (RISIS).

Notion Venture adalah syarikat pengeluar pelitup muka yang mesra pengguna yang menggunakan bahan yang lembut yang tidak mengakibatkan kegatalan pada muka di samping fungsi utamanya melindungi dari kuman serta virus. Pelitup yang boleh digunakan sehingga 10 jam ini juga telah mendapat pensijilan dari SIRIM, TUV SUD Lab, ISO13485:2016 dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan atau Medical Device Authority.

Syarikat ini telah berjaya memenuhi kriteria sebagai sebuah organisasi Mesra Muslim dengan mengambil kira 3 teras utama iaitu:

1. Aktiviti utama yang tidak bercanggah dengan Syariat Islam

2. Meraikan semua keperluan wajib kakitangan Muslim yang bekerja di organisasi itu

3. Produk atau perkhidmatan tidak mengandungi elemen-elemen yang terlarang.

Disamping itu, keperluan untuk mendapatkan perakuan menjadi organisasi Mesra Muslim ini ialah komitmen terhadap menyokong dan menggunakan instrumen kewangan Islam terutamanya perbankan Islam dan takaful.

Selain dari itu, organisasi ini juga perlu memberikan ruang dan peluang kepada peniaga-peniaga Muslim yang berkelayakan dalam bidang-bidang yang diperlukan untuk berurusniaga dengan mereka sebagai satu langkah untuk menyemai minat dan mengembangkan perniagaan mereka.

Antara keperluan lain ialah organisasi itu tidak boleh terlibat dalam sebarang bentuk gerakan yang berbaur anti Islam dan mengamalkan sebarang bentuk dan tindakan yang opresif terhadap umat Islam serta menjadi sebuah organisasi yang menjadi majikan yang menawarkan peluang pekerjaan yang setara (equal opportunity employer).

Organisasi juga dikehendaki memperuntukkan jawatan yang penting kepada Muslim yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bahagian pengurusan dan operasi serta mana-mana sektor yang utama. Untuk rekod, Notion Venture menggaji lebih 70 peratus pekerja Muslim di pelbagai peringkat operasi pengeluaran dan pengurusan.

Syarikat ini juga telah menyediakan kemudahan musolla yang memudahkan pekerja Muslim mengerjakan solat serta memberikan waktu anjal untuk mereka menunaikan solat Jumaat serta jadual kerja yang fleksibel bagi membolehkan mereka menyesuaikan waktu mereka apabila berpuasa wajib. Cuti khas juga dipertimbangkan untuk kakitangan yang menunaikan Haji.

Program-program kesedaran mengenai etika serta kesedaran Halal juga akan diterapkan di dalam organisasi ini sebagai satu input yang penting untuk menerapkan keharmonian dalam tempat kerja dan memahami antara satu sama lain. 

Mana-mana organisasi yang diperakukan boleh menggunakan logo Muslim Friendly RISIS di bungkusan produk-produk mereka untuk satu tempoh yang ditentukan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia juga menyokong usaha Persatuan Penyelidikan dan Penarafan dalam usaha mereka untuk memberikan tahap penarafan dan pemeringkatan (Rating and Ranking). Dalam usaha ini, perakuan sebagai organisasi Mesra Muslim mampu membawa sesebuah organisasi kepada tahap menarafan yang signifikan. 

Melalui Muslim Friendly ini, organisasi atau mana-mana entiti perniagaan berpeluang untuk meraih satu lagi kaedah perakuan bagi mereka menarik minat pasaran Muslim tempatan dan global terutama bagi mereka yang menghasilkan produk yang tidak ada relevansi dengan pensijilan Halal dan tidak terdapat skim pensijilan Halal yang bersesuaian.

Dalam usaha memberikan apa-apa perakuan Muslim Friendly ini, RISIS mengambil pendekatan yang amat teliti dan berhati-hati dengan memastikan mana-mana organisasi itu mampu akur serta memberikan komitmen mereka dengan konsisten.

RISIS tidak akan teragak-agak untuk menarik balik perakuan itu sekiranya didapati organisasi itu gagal untuk mematuhi keperluan-keperluan protokol MuFHE.

Artikel oleh: En Zulkefli Mohamad, Penolong Setiausaha PPIM

‘MUSLIM FRIENDLY’ BUKAN SEKADAR PRODUK