KLANG: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Maulid Ad-Dibaei menghulurkan sumbangan sayur, ayam dan daun ketupat yang diedarkan kepada penduduk di Kampung Perepat menggunakan motosikal yang dipasang kotak beroda.
Menurut Timbalan Pengerusinya, Ahmad Ridzwan Yahya, pihaknya berasa terpanggil untuk menyampaikan sumbangan barang makanan dengan kaedah tersebut disebabkan ramai golongan susah tinggal di kawasan tiada jalan yang boleh dimasuki kereta.
“Kita menggunakan motosikal disebabkan golongan B40 yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19 tinggal di kawasan agak pedalaman. Lagipun masa PKP mereka sukar ke sana sini mencari daun palas dan kelapa untuk dibuat sarung ketupat.
“Sejak PKP tahun lepas kita akan menyantuni golongan terkesan dengan menyampaikan sumbangan barang makanan basah dan kering,” katanya kepada pemberita di Kampung Perepat.
Ahmad Ridzwan berkata, pihaknya bekerjasama mengumpul dana dan menggunakan peruntukan tersebut untuk membeli sayur-sayuran.
Katanya, pihaknya juga menerima sumbangan ayam daripada pihak perseorangan sebanyak 100 ekor untuk sambutan Aidiladha tahun ini.
“Kita juga menyumbang daun ketupat untuk memudahkan penduduk di sini menyediakan juadah Hari Raya Korban. Pada saat ini orang ramai tidak boleh merayau sesuka hati mencari daun palas,” katanya.
Ahmad Ridzwan berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dana Kita untuk menyampaikan bakul prihatin kepada golongan memerlukan.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
NAIK MOTOSIKAL PUSING KAMPUNG EDAR SUMBANGAN AIDILADHA
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/naik-motosikal-pusing-kampung-edar-sumbangan-aidiladha/