Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NAJIB TERIMA MEMORANDUM DESAK KELUAR KWSP – UTUSAN MALAYSIA – 11/01/2022
13 Jan 2022

PETALING JAYA : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil menyerahkan memorandum menuntut pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara sekali bayar atau one off kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memorandum itu berjaya diserahkan oleh Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat bekas Perdana Menteri itu di Jalan Bukit Pantai di sini hari ini.

Menurut Nadzim, tuntutan berkenaan dibuat kerana masih ramai pencarum yang belum mendapat pekerjaan dan gaji yang stabil.

“Malah ada juga pencarum sudah mendapat pekerjaan tetapi kadar gaji ditawarkan dan diterima tidak seperti gaji sebelum pandemik Covid-19 sedangkan komitmen sedia ada adalah berdasarkan pendapatan terdahulu.

“Ada juga pencarum yang mahu mengeluarkan simpanan KWSP kerana mahu melunaskan tunggakan hutang, pinjaman dan lain-lain,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan memorandum itu.

Katanya, pencarum juga berdepan kesan berganda akibat banjir di beberapa negeri pada hujung tahun lalu.

Dalam pada itu, Nadzim memaklumkan memorandum itu dihantar melalui Ahli Parlimen Pekan kerana Najib sering menggesa supaya pengeluaran dibenarkan.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

NAJIB TERIMA MEMORANDUM DESAK KELUAR KWSP

https://www.utusan.com.my/terkini/2022/01/najib-terima-memorandum-desak-keluar-kwsp/