Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NEGARA PERLU ISYTIHAR DADAH DALAM TALIAN SEBAGAI MUSUH – KOSMO – 14/09/2026
15 Sep 2026

PETALING JAYA – Ancaman penjualan dadah menerusi platform media sosial perlu ditangani sebagai agenda nasional dengan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, ahli politik, masjid, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan yang dikenali sebagai Toqqi berkata, ancaman tersebut tidak lagi boleh dianggap sebagai isu terpencil kerana akses kepada bahan terlarang kini semakin mudah melalui platform digital.

Menurutnya, platform media sosial juga perlu memikul tanggungjawab lebih besar dan tidak sekadar menunggu laporan pengguna sebelum mengambil tindakan terhadap akaun yang disyaki mempromosikan atau menjual dadah.

“Platform mempunyai algoritma yang cukup canggih untuk memahami dan mengesan kandungan serta membuat cadangan kepada pengguna.

“Jadi, mereka tidak boleh hanya memberi alasan perlu menunggu laporan. Platform mesti bertanggungjawab dan bukan sekadar berada di situ untuk membuat keuntungan,” katanya pada sidang akbar di Private Place @ Sembang-sembang Cafe Tingkat 3, Villa Puteri Condominium, Kuala Lumpur hari ini.

Toqqi berkata, isu tersebut memerlukan gerakan menyeluruh daripada masyarakat kerana kesannya bukan sahaja melibatkan individu yang mengambil dadah, malah boleh mengancam keselamatan orang lain.

Katanya, ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap aktiviti anak-anak selain mengetahui saluran yang betul untuk membuat laporan sekiranya mengesan aktiviti penjualan dadah dalam talian.

“Kita tidak boleh mengatakan ini bukan kerja kita. Ini keluarga kita dan semua pihak perlu memainkan peranan.

“Kita perlukan masjid, jawatankuasa kampung, sekolah, agensi kerajaan dan NGO untuk melihat perkara ini secara serius,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan isu itu cukup serius sehingga memerlukan perhatian di peringkat tertinggi kerajaan serta wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, masyarakat juga perlu diberi panduan jelas mengenai tindakan pertama yang perlu dilakukan apabila menemui kandungan berkaitan penjualan dadah termasuk saluran laporan kepada polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kita perlu ketepikan perkara lain dan bersama-sama melawan perkara ini. Serang masalah pada platform kerana teknologi untuk mengesannya berada pada platform.

“Jangan tunggu sehingga orang membuat laporan atau sehingga ada yang menjadi mangsa. Kita perlu membawa semangat melawan ini bersama-sama kerana ia akan memberi kesan kepada kita semua,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

NEGARA PERLU ISYTIHAR DADAH DALAM TALIAN SEBAGAI MUSUH 

https://www.kosmo.com.my/2026/09/14/negara-perlu-isytihar-dadah-dalam-talian-sebagai-musuh/