OBJEKTIF : MEMBONGKAR KEGIATAN MAKSIAT DISEKITAR CHOW KIT DAN KAMPUNG BARU
WARTAWAN : AHMAD SHAUQI BIN MOHD YASSIN
Unit Banteras Ceti Haram PPIM sertai OPS BAH siri ke 31
Kementerian Wilayah Persekutuan meneruskan operasi banteras aktiviti haram Ops Bah untuk siri ke 31.
Yang menariknya, unit banteras ceti haram PPIM turut serta buat kali keduanya dalam operasi kali ini. Ikuti laporan ini sehingga ke penghujungnya.
Tumpuan utama operasi yang disertai oleh 23 agensi tempatan bersama 13 NGO ini mensasarkan pemotongan bekalan elektrik dan air premis menjalankan judi online di samping banteras maksiat di hotel bajet sekitar Chow Kit dan Kampung Baru.
Operasi yang diketuai Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) melakukan serbuan pertama di hotel bajet persekitaran dalaman Chow Kit dan berjaya menahan dua individu yang didapati baru sahaja daftar keluar daripada hotel. Wanita berkenaan merupakan warganegara Indonesia manakala lelaki tersebut adalah warga tempatan.
Dalam pada itu, semasa operasi giat dijalankan, Unit Banteras Ceti Haram PPIM berjaya mencekup seorang lelaki Cina yang dipercayai menjadi pengintip atau lebih dikenali dengan gelaran ‘tonto’.
Pemeriksaan dilakukan keatas beliau dan didapati dibawah penyalahgunaan dadah.Beliau kemudian diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
Serbuan seterusnya dijalankan di sekitar Jalan Raja Alang dan Raja Laut. Seorang wanita berumur lingkungan awal 20 an ditahan akibat penyalahgunaan alkohol. Wanita berkenaan ketika diserbu mempersoal akan operasi ini dan menyalahkan pihak berkuasa.
Serbuan kemudian berjaya mencekup 2 pasangan yang didapati tinggal bersekedudukan di dalam bilik tanpa sebarang ikatan yang sah. Lebih mengejutkan, kegiatan ini adalah bukan kali pertama mereka lakukan sebaliknya sudah beberapa kali menginap di sini.
Ketua Penyelaras Ops Bah, Azman Mahmood ketika dihubungi berkata Ops Bah siri 31 dijalankan selepas pihaknya mendapati hotel-hotel bajet sering menjadi pilihan pasangan bukan muhrim untuk menginap.
Kesemua 9 orang ditangkap akan didakwa mengikut seksyen 27 Akta 559 atas kesalahan berkhalwat dan seksyen 19 (2) atas kesalahan pengaruh alkohol.
Sementara itu, Aktivis Unit Banteras Ceti Haram PPIM, Hazwan Hilmi berharap operasi akan terus diadakan pada masa akan datang sekaligus menjalankan tanggungjawab sebagai seorang beragama Islam untuk melaksanakan aktiviti amar ma’ruf nahi mungkar.