Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ORANG SAKIT PUN ALONG GANGGU – HARIAN METRO – 08/06/2022
10 Jun 2022

Kuala Lumpur: Tidak tahan diganggu dan diugut along, ada peminjam sanggup menyewa ambulans swasta untuk membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di ibu negara.

Ini kerana mereka masih menerima rawatan akibat kecederaan dan hilang upaya untuk bergerak namun berterusan diburu ceti haram berkenaan.

Tidak tahan dengan keadaan itu memaksa mereka sanggup menaiki ambulans untuk membuat aduan bagi mengelakkan diganggu along terbabit.

Bagi seorang peminjam yang mahu dikenali sebagai Zulkifli, 30-an, dia sanggup menyewa ambulans untuk hadir ke PPIM di Keramat Hujung dari Kuantan, Pahang baru-baru ini untuk menyelesaikan kes along.

Katanya, dia terbabit dalam kemalangan jalan raya menyebabkannya hilang upaya untuk bergerak namun itu bukannya tiket untuk along berkenaan bersimpati kepadanya.

“Saya tidak dapat bekerja dan membayar hutang seperti dijanjikan. Along berkenaan tidak menghiraukan keadaan itu dan terus mendesak supaya saya membayarnya.

“Jika tidak saya perlu menanggung kadar faedah yang tinggi, setakat ini pun sudah lebih RM17,000 dari jumlah pinjaman asal sekitar RM5,000,” katanya.

Zulkifli berkata, dia mengambil keputusan untuk menyewa ambulans swasta berjumlah RM1,500 dan terus ke Kuala Lumpur semata-mata untuk membuat aduan kepada PPIM.

“Saya bimbangkan keselamatan keluarga. Ini jalan terakhir yang mampu saya buat. Walaupun jauh, saya perlu usahakan sesuatu, saya tidak mahu keluarga diapa-apakan,” katanya.

Katanya dia lega kerana kesnya sudah selesai dengan PPIM berbincang dengan along untuk menjadualkan semula pinjamannya itu.

Sementara itu, seorang pekerja swasta berusia 24 tahun juga terpaksa menaiki ambulans untuk membuat aduan kepada PPIM minggu lalu akibat desakan along.

SEKRETARIAT PPIM mengambil butiran Amin yang terlantar di dalam ambulans. FOTO PPIM
SEKRETARIAT PPIM mengambil butiran Amin yang terlantar di dalam ambulans. FOTO PPIM

Mahu dikenali sebagai Amin, pemuda itu yang masih dalam rawatan akibat kemalangan jalan raya dibawa dengan ambulans swasta ke ibu negara daripada kampungnya di Taiping, Perak untuk memastikan dia tidak diganggu along.

Katanya, selepas mengalami kemalangan bulan lalu, dia mendapatkan rawatan di kampung dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur.

“Pada masa sama, saya diganggu along yang mahu hutang mereka dilunaskan. Saya tidak bekerja, jadi keluarga buat keputusan supaya berhubung dengan PPIM,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, dua kes berkenaan menjadi contoh betapa along kini bertindak zalim untuk menekan peminjam.

Katanya, pihaknya memerlukan kehadiran pengadu untuk membuat aduan bagi mengesahkan keadaan dan memastikan semua maklumat diberikan adalah tepat.

“Mungkin ada yang menganggap kita tidak bertimbang rasa namun saya perlu tegaskan, urusan dengan along ini bukan perkara main-main.

“Kita juga tidak mahu aduan diambil secara sambil lewa kerana perlu diingat, kita berurusan dengan nyawa. Jadi kehadiran mereka walaupun terpaksa menaiki ambulans menunjukkan ia sesuatu yang sangat serius,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

ORANG SAKIT PUN ALONG GANGGU

https://www.hmetro.com.my/utama/2022/06/849833/orang-sakit-pun-along-ganggu