PUTRAJAYA 3 Jun – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran membantu menjadikan acara jualan murah barangan dapur seperti yang dianjurkan oleh Rakan Niaga Persatuan Pengguna Islam Malaysia di pasar tani di sini hari ini dijadikan acara berkala.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, perkara ini perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran khalayak dan membantu memberikan mereka pilihan barangan pada harga murah yang tidak dapat diperoleh pada setiap waktu.
Jelas beliau, selain itu, khalayak perlu mendapat peluang untuk membeli pada acara tersebut bagi membolehkan mereka membuat penjimatan wang sehingga sebanyak RM200 sebulan sekiranya program tersebut diadakan pada kekerapan satu atau dua minggu sekali.
“Maka atas sebab inilah acara sebegini perlu diadakan secara berkala kerana kesan besarnya kepada pengguna.
“Dan ini hanya boleh dilakukan dengan kerjasama daripada PBT dan agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama),” katanya kepada media pada program tersebut pagi tadi.
Pada acara yang masuk kali ke-lima penganjurannya itu, para pengguna berpeluang untuk membeli barangan basah seperti ikan kembung, tenggiri, tepung gandum dan gula masing-masing pada harga serendah RM6, RM15, RM1.30 dan RM2.35. – MEDIA PPIM