Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PEKEMAS BUAT LAPORAN SPRM – BERITA HARIAN – 18/05/2022
01 Jun 2022

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS) mendakwa memiliki bukti berbentuk rakaman audio dan dokumen berhubung isu pengiktirafan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) sebagai wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Australia.

Presiden PEKEMAS, Faizan Mohd Nor, berkata pihaknya turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan membabitkan isu integriti dalam urusan penyembelihan ternakan secara halal di Australia, kelmarin.

Katanya, laporan dibuat kepada Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, bagi membolehkan kertas siasatan mengenai isu status halal prosedur penyembelihan ternakan di loji Australia dibuka.

“PEKEMAS akan memberi kerjasama penuh dalam menyalurkan gambar, rakaman video dan keterangan berhubung petugas loji berkenaan yang didakwa melanggar prosedur penyembelihan JAKIM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan wakil Sahaba 99, Vince Focarelli.

Semalam, JAKIM menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia berkuat kuasa serta-merta sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperoleh.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu juga akan diberi surat tunjuk sebab.

Ia juga berdepan dibatalkan status badan pensijilan halal diiktiraf JAKIM, sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Faizan turut menunjukkan salinan akuan bersumpah (SD) oleh lima bekas pekerja SICHMA berhubung dakwaan salah laku pengurusan syarikat berkenaan.

Katanya, ada individu mendakwa mempunyai kuasa penuh dalam mendapatkan pengiktirafan SICHMA sebagai badan Pensijilan Halal Asing di beberapa negara termasuk Malaysia.

“Status SICHMA sebagai badan diiktiraf JAKIM di Australia wajar digantung serta-merta sehingga siasatan selesai,” katanya.

Sementara itu, Abdullah atau ‘The Hood Man’ yang mendedahkan isu berkenaan sejak bulan lalu, mendakwa menerima sekurang-kurangnya 11 panggilan daripada individu berbeza yang memperkenalkan diri sebagai wakil JAKIM di Australia.

Bercakap menerusi panggilan video pada sidang media sama, beliau menyatakan keraguan terhadap identiti pemanggil kerana tidak mengemukakan pengenalan diri sebagai bukti wakil rasmi JAKIM di negara berkenaan.

“Saya sanggup ke Malaysia untuk memberi maklumat penuh kepada JAKIM berhubung isu status status halal sembelihan di Australia, dengan syarat pertemuan itu diatur melalui PEKEMAS,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nadzmin mengesahkan PPIM belum dipanggil JAKIM berhubung dakwaan loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal di Australia tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Beliau turut menafikan Abdullah hilang dan gagal dikesan.

“Kalau JAKIM panggil, kita pergilah. Setakat ini belum (dipanggil),” katanya ketika ditemui pada majlis program kesihatan membantu golongan asnaf bersama Yayasan Malindo Worldwide (YMW) di sini, semalam.

Nadzim berkata, ‘The Hood Man’ tidak hilang seperti didakwa dan meminta JAKIM menanggung pembiayaan membawa lelaki yang menetap di Australia itu datang ke Malaysia untuk memberi keterangan.

Beliau mendakwa, The Hood Man turut menerima ugutan bunuh, sekali gus menyebabkan PPIM berhati-hati dalam bertindak dan berharap isu berkaitan penyembelihan ternakanan seperti itu tidak berulang.

“Isu ini sensitif buat orang Islam,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

PEKEMAS BUAT LAPORAN SPRM

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/956925/pekemas-buat-laporan-sprm