Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PEKEMAS LAPOR SPRM, PDRM- ISU LANGGAR PROSEDUR HALAL RUMAH SEMBELIHAN – UTUSAN MALAYSIA – 18/05/2022
31 May 2022

PUTRAJAYA: Susulan pendedahan isu pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia, Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak siasatan dibuat terhadap pegawai Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Faizan Mohd. Nor berkata, laporan itu dibuat kerana dipercayai wujud perlanggaran integriti beberapa pegawai dalam jabatan itu seolah-olah hanya memejamkan mata dan membenarkan segala salah laku berlaku tanpa pemantauan sebaiknya.

Sedangkan kata beliau, tindakan pemeriksaan dan pemantauan adalah di bawah tanggungjawab para pegawai termasuk seorang pengurusan tertinggi jabatan berkenaan.

Katanya, satu sidang akhbar akan diadakan hari ini bagi mendedahkan isu integriti pegawai jabatan terlibat.

Menurut beliau, pihak SPRM akan membentangkan laporan isu berkenaan dalam mesyuarat suruhanjaya itu, seterusnya melantik pegawai penyiasat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) siasatan suruhanjaya berkenaan.

“Laporan ini dibuat agar pihak SPRM dapat menyiasat salah laku dan integriti pegawai Bahagian Hab Halal Jakim dan pembongkaran isu moral dalam kalangan pegawai yang terlibat dalam kelulusan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas Thomas Food Industries (TFI),” katanya di sini semalam.

Terdahulu, beliau membuat laporan ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi semalam dan diterima Pegawai SPRM bertugas, Khai­rul Ikmal Zakaria.

Laporan turut dibuat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan isu ber­kenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Faizan adalah salah seorang yang mendedahkan bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah penyembelihan di Australia, termasuk rakaman video ketidakpatuhan yang berlaku bertahun-tahun.

Dalam perkembangan sama, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut menyiasat dakwaan status tidak mematuhi prosedur halal oleh syarikat penyembelih yang sama.

Sementara itu, Jakim kini sedang menjejaki lelaki dikenali ‘Abdullah’ iaitu individu pen­ting yang mendedahkan isu loji penyembelihan halal di Australia baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, individu itu perlu tampil ke hadapan bagi membantu siasatan isu berkenaan.

Beliau berkata, pegawai Jakim sudah pun berjaya menghubungi lelaki itu sebelum ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Bagaimanapun, lelaki itu memaklumkan akan menghubungi semula pegawai Jakim berkenaan, namun, sehingga kini membisu dan gagal dihubungi.

“Saya turut meminta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menghubungi lelaki itu kerana ia penting bagi memastikan siasatan lebih te­lus berhubung isu berkenaan.

“Saya juga difahamkan, Abdullah itu bukan menggunakan nama sebenar, namun kami faham mungkin untuk keselamatan dia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi digital Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) atau DiYa, semalam.

Sejak 14 April lalu, Utusan Malaysia mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Tambah mengejutkan, pusat penyembelihan di Lobethal, Selatan Australia itu ada dalam senarai diiktiraf Kerajaan Malaysia dan mendapat perakuan badan pensijilan halal luar negara di Australia.

Berdasarkan bukti rakaman video dan gambar me­nunjukkan, haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu menyebabkan haiwan itu mati akibat lemas dan bukannya kerana disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Susulan itu, Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memutuskan untuk menggantung lesen loji sembelihan TFI itu sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Malah, SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu pula akan diberi surat tunjuk sebab dan berdepan kemungkinan dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal Jakim jika didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia. –UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PEKEMAS LAPOR SPRM, PDRM- ISU LANGGAR PROSEDUR HALAL RUMAH SEMBELIHAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/05/lapor-sprm-isu-prosedur-halal/