KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bersikap realistik dalam menangani isu kebergantungan sumber tenaga warga asing dalam pelbagai industri di negara ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran telah menimbulkan kerisauan industri.
Menurutnya, sejak beberapa hari lalu, pihaknya telah menerima aduan dan kerisauan berhubung kenyataan Kulasegaran.
“Kawan- kawan kita dalam industri cukup risau kerana mereka sudah tentu terpaksa menghadapi cabaran yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, kajian dan perancangan secara menyeluruh perlu dilakukan kerajaan sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Kalau menteri hendak buat, ia boleh dirancang. Mungkin implementasinya lima tahun akan datang, jadi kerajaan boleh melatih sumber tempatan untuk menggantikannya.
“Sebenarnya, PPIM sokong penggunaan tenaga kerja tempatan, memang baik. Tetapi kita perlu juga faham, tidak semua orang tempatan yang mempunyai limitasi,” katanya.
Nadzim berkata, kerajaan juga perlu memberi jaminan kepada industri agar tidak tergugat dengan polisi baharu kerajaan.
“Hendak meniaga bukan mudah. Setengah nyawa. Kalau ada syarat- syarat macam ini, lagilah tidak tinggal nyawa. Padahal mereka memohon permit secara sah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Justeru, PPIM mencadangkan agar kerajaan menubuhkan seketeriat bagi yang boleh menerima input, menyelesaikan masalah yang timbul dan mencari titik pertemuan dengan pihak berkaitan.
“Menteri mungkin boleh susun pekerja- pekerja. Kalau kita hendak, kita boleh ambil di situ,” katanya.
Selain itu, PPIM juga berharap agar kerajaan dapat melatih orang tempatan agar lebih bersedia dalam mengurangkan kebergantungan warga asing.
“Latih, beri sijil dan tingkatkan tangga gaji mereka,” katanya yang turut berharap agar polimik ini diselesaikan dengan baik.
Semalam, Kulasegaran berkata, kerajaan akan mengkaji semula perjanjian mengenai pekerja asing dengan semua negara yang terlibat dalam usaha mengurangkan kebergantungan dengan mereka.
“Keutamaan pekerjaan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu sebelum diberi kepada pekerja asing,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perjanjian pada tahun 2006 antara Malaysia dan Bangladesh untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja negara itu.
Artikel Oleh : Sinar Harian
Pekerja asing: Jangan terkam tanpa kajian menyeluruh