CYBERJAYA – Malakat Mall dan pembekal makanan syarikat terkenal penerbangan, Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan kepada kakitangan syarikat penerbangan yang kehilangan punca pendapatan akibat terkesan Covid-19.
Program keusahawanan itu menyasarkan 1,000 penyertaan daripada usahawan baharu dalam kalangan staf syarikat penerbangan yang terjejas dan berhasrat memulakan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, pada peringkat permulaan, peserta akan disediakan dengan makanan bermasak sihat dan berkhasiat untuk dipasarkan di kawasan komuniti mereka.
Katanya, bermodalkan RM1,000, peserta sudah boleh memulakan perniagaan dan barangan jualan itu boleh didapati secara terus daripada Malakat Mall.
“Jika usahawan terbabit tidak mempunyai modal pendahuluan, pihak kami juga sedia membantu termasuk memberikan tunjuk ajar teknik perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Projek Muslim Village Malaysia bersama Perbadanan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Sdn. Bhd. di Malakat Mall di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kewangan dan Pentadbiran, Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd., Mohd. Fadhli Abdul Rahman dan Pengerusi Perbadanan YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom serta Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Projek Muslim Village Malaysia di Bukit Tasik, Serendah, Selangor itu dibangunkan oleh Raudah City di tanah seluas 176.9 ekar milik Perbadanan YBK membabitkan 1,000 unit kediaman dan dijangka siap pada Jun 2021.
Sementara itu, Mohd. Fadhli berkata, program keusahawan itu adalah inisiatif pihaknya dalam membantu kakitangan syarikat penerbangan yang telah banyak membantu memperkenalkan makanan keluaran Brahim’s sebelum ini.
Katanya, makanan yang akan dipasarkan dalam program keusahawanan itu adalah bertaraf antarabangsa, namun harga yang dijual adalah mampu milik untuk semua peringkat.
“Program secara kerjasama ini akan diadakan secara berterusan dan orang awam yang terjejas pendapatan akibat pendemik Covid-19 juga dipelawa menyertai program ini,” katanya.
Artikel oleh: Kosmo
PEKERJA SYARIKAT PENERBANGAN DIPELAWA RAIH PENDAPATAN
https://www.kosmo.com.my/2020/11/27/pekerja-syarikat-penerbangan-dipelawa-raih-pendapatan/