CYBERJAYA – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengingatkan semua pengusaha hotel termasuk inap desa mengambil langkah pencegahan pada setiap masa memastikan pengunjung tidak terkena jangkitan Covid-19.
Menurutnya, pemain industri dalam bidang perhotelan khususnya yang premis mereka pernah dijadikan pusat kuarantin Covid-19 perlu melakukan sanitasi berkala sebelum dan selepas menerima pengunjung.
“Pelbagai peraturan mengenai pencegahan Covid-19 perlu dipamerkan supaya pelanggan yakin terhadap kebersihan dan keselamatan sesebuah hotel itu,” katanya ketika dihubungi Malakat Tribune.
Mengulas mengenai kebimbangan orang awam terhadap industri perhotelan itu juga, beliau berkata, menjadi tanggungjawab pihak hotel memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan supaya industri itu terus pulih.
Namun katanya, pelanggan usahlah bimbang tetapi harus percaya dan jujur dalam memberi maklumat diri seperti bacaan suhu badan dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) lain yang ditetapkan pihak pengurusan hotel bagi mengekang sebarang potensi penularan Covid-19.
“Manakala pengusaha hotel berhak untuk menerima atau menolak tetamu yang menunjukkan tanda-tanda serta simptom berkaitan Covid-19,” katanya.
Artikel oleh: Malakat Tribune
PELANGGAN BERHAK LIHAT BUKTI HOTEL DISANITASI SEBELUM MENGINAP
https://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/16005/