Kuala Lumpur: “Saya sudah beberapa kali meminta anak-anak berpuasa kerana tiada wang untuk perbelanjaan sekolah,” kata Abdul Halim, 36, yang buntu memikirkan masalah kewangan dihadapi.
Bapa kepada enam anak itu berkata, dia kini ibarat jatuh ditimpa tangga selepas diberhentikan kerja sebagai pemandu hampir setahun lalu.
Menurutnya, dia memerlukan sejumlah wang untuk membayar yuran persekolahan dan perbelanjaan lima anaknya iaitu dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa dan tiga lagi di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 2.
Abdul Halim berkata, mereka sekeluarga juga berdepan masalah untuk membayar sewa rumah.
“Saya merayu rakyat Malaysia yang prihatin untuk membantu saya dan keluarga yang kini berdepan masalah kewangan.
“Tempoh untuk tinggal di rumah sewa hanya tinggal enam hari lagi kerana tuan rumah minta kosongkan serta merta.
“Saya terpaksa membuang perasaan malu meminta bantuan orang ramai kerana memang betul-betul terdesak. Tak dapat banyak, sikit pun tak apa,” katanya ketika membuat aduan kepada sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, semalam.
Katanya, dia diberi masa sehingga hujung bulan ini untuk keluar dari rumah sewa yang mempunyai tunggakan bayaran selama tiga bulan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan menghubungi sekretariat PPIM di 03-40420011.