Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PEMANDU E-HAILING DIHIMPIT KOS OPERASI, INSURANS NAIK 150 PERATUS – UTUSAN MALAYSIA – 23/01/2026
24 Jan 2026

PETALING JAYA: Pemandu e-hailing terus berdepan tekanan akibat peningkatan kos operasi, dasar yang tidak konsisten, sistem yang menekan serta kegagalan tadbir urus yang berpanjangan meskipun mereka sering diangkat sebagai tulang belakang industri pengangkutan awam negara.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, antara isu paling mendesak ialah kenaikan mendadak Premium Insurans E-Hailing yang didakwa mencecah sehingga 150 peratus, sekali gus menjejaskan pendapatan dan kelangsungan hidup ribuan pemandu di seluruh negara.

“Pemandu e-hailing juga terpaksa menanggung premium insurans berganda iaitu insurans kenderaan dan insurans e-hailing yang boleh mencecah lebih RM2,000 bagi sebuah kenderaan, sekali gus menjejaskan kelangsungan pendapatan mereka.

“Kita mempersoalkan percanggahan tadbir urus antara agensi kerajaan apabila sistem tambang bidding masih beroperasi walaupun Kementerian Pengangkutan sebelum ini menegaskan bahawa kementerian itu tidak pernah membenarkan pelaksanaannya.

“Sehingga ke hari ini, sistem tambang bidding masih terus beroperasi, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan penguatkuasaan, kejelasan dasar serta kebertanggungjawaban agensi pelaksana terhadap arahan kementerian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam isu keselamatan pula, PPIM menggesa kerajaan mewajibkan pelaksanaan e-KYC kepada pengguna e-hailing bagi memastikan identiti pengguna dapat dikenal pasti dengan jelas, sekali gus mengurangkan risiko jenayah, penipuan dan ancaman keselamatan terhadap pemandu.

PPIM menegaskan pemandu e-hailing tidak wajar terus menjadi mangsa kegagalan dasar dan penguatkuasaan, sedangkan mereka bukan pembuat dasar tetapi menanggung kesan paling besar.

“PPIM mempersoalkan apakah keputusan sebenar hasil daripada sesi libat urus yang telah diadakan sebelum ini. Adakah ia sekadar retorik tanpa tindakan susulan yang nyata, atau kerajaan terpaksa tunduk kepada kehendak pemain industri insurans sehingga mengetepikan kepentingan pemandu e-hailing?.

“Adakah libat urus tersebut sekadar retorik, wayang, atau hanya perbincangan tanpa sebarang tindakan susulan yang nyata?

“Sikap berdiam diri kerajaan tidak boleh diterima. Keputusan dasar yang jelas, garis masa pelaksanaan serta penguatkuasaan tegas mesti dilaksanakan segera tanpa sebarang kelewatan,” katanya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PEMANDU E-HAILING DIHIMPIT KOS OPERASI, INSURANS NAIK 150 PERATUS

https://www.utusan.com.my/terkini/2026/01/pemandu-e-hailing-dihimpit-kos-operasi-insurans-naik-150-peratus/