Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PEMBANGUNAN VAKSIN TEMPATAN PERLU DISEGERAKAN – KENYATAAN AKHBAR PPIM – 27/11/2020
27 Nov 2020

Penularan COVID-19 seharusnya menjadi satu pengajaran buat negara ini tentang betapa kritikalnya kita mengorak langkah membangun dan menghasilkan vaksin sendiri yang pasti menitikberatkan aspek halal.

Umat Islam khususnya, juga terpaksa berhadapan dengan keadaan darurat apabila terpaksa divaksinasi dengan vaksin yang mempunyai unsur-unsur haram setiap kali menunaikan haji dan umrah. Walaupun diharuskan pengambilannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kita perlu peka dan bertanya sampai bila kita harus bergantung kepada keputusan fatwa ini sedangkan kita mempunyai kemampuan dari segi kepakaran dan kewangan yang cukup untuk membangunkan vaksin, khususnya vaksin halal.

Setakat ini, Malaysia mengimport sepenuhnya keperluan vaksin negara yang sudah tentunya menelan belanja berbilion-bilion ringgit. Dengan penularan wabak COVID-19 ini negara terpaksa menyediakan dana yang lebih untuk mengvaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus atau lebih 20 juta rakyat Malaysia untuk mencapai tahap ‘herd immunity’.

Sehingga kini, negara masih lagi belum mempunyai pusat atau mana-mana agensi yang menjurus ke arah penghasilan vaksin berikutan ketiadaan infrastruktur yang diperlukan, walaupun negara mempunyai sejumlah pakar vaksin yang berkelayakan.

Kami menggesa kerajaan agar mewujudkan satu agensi khusus untuk pembangunan vaksin memandangkan ancaman wabak kini semakin membimbangkan. Kita telah berhadapan dengan gejala virus Nipah, SARS, MERS-CoV dan lain-lain tetapi kita juga harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan penularan semula wabak-wabak ini seperti penularan semula wabak Tuberculosis, Kusta, Polio dan sebagainya.

Negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand sudah pun memperkasakan kepakaran, kemudahan dan keupayaan mereka untuk menghasilkan vaksin sendiri, dan kita yakin Malaysia mempunyai beberapa kelebihan dari segi kemudahan infrastruktur, pakar-pakar dan kewangan yang kukuh.

Sampai bila negara perlu menagih ikhsan dari negara pengeluar untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi berikutan penularan pantas seperti COVID-19 ini? Negara pengeluar sudah pasti akan mengutamakan penduduk mereka dahulu sebelum mengeksport bahan itu kepada negara luar.