Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PEMBELIAN DALAM TALIAN SATU PENJIMATAN ATAU PEMBAZIRAN – PENGGUNA – BERNAMA – 01/10/2019
02 Oct 2019

MELAKA, 1 Okt — Sejak kebelakangan ini trend membeli barang secara dalam talian banyak mengubah corak bagaimana rakyat negara berbelanja.

Kemudahan yang ditawarkan oleh syarikat platform e-dagang bukan hanya memudahkan pengguna berbelanja tetapi harga sesetengah barangan yang dipamerkan adalah jauh lebih rendah berbanding dengan harga di kedai atau pasar raya.

Namun persoalan yang timbul adakah kemudahan itu menggalak pengguna berbelanja secara boros sehingga berlaku pembaziran akibat ketagihan dalam melakukan pembelian secara dalam talian ataupun pengguna dapat berbelanja dengan jimat kerana harga yang ditawarkan adalah lebih rendah.

Seorang pekerja swasta, Siti Norazimah Abdullah, 34, berkata persoalan sama ada kewujudan kaedah baharu itu menggalak pengguna berbelanja secara boros atau lebih jimat dalam menguruskan kewangan mereka (pengguna) bergantung kepada sikap individu itu sendiri.

“Saya lebih selesa membeli barangan tertentu seperti produk penjagaan diri dan pakaian kerana ianya menawarkan harga yang lebih murah serta ‘update’(terkini) berbanding dengan apa yang terdapat di pasar raya.

“Lagipun saya tidak lagi perlu membuang masa memandu ke pasar raya dan menghabiskan masa berjam-jam untuk ‘shoping’ (berbelanja)… paling memeritkan apabila terpaksa berbaris panjang ketika membuat pembayaran lebih-lebih lagi ‘time gaji’ (ketika gaji) atau musim perayaan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pengguna diingatkan agar berhati-hati dalam membuat pesanan kepada penjual yang dipercayai sahaja bagi mengelak berlakunya penipuan dengan meneliti ruangan komen pembeli terlebih dahulu.

Katanya, beliau telah lama membuat pembelian secara dalam talian sebelum wujub platform e-dagang lagi iaitu membuat pembelian buku rujukan sekolah menerusi laman web.

Turut berkongsi pendapat, Zahari Ibrahim, 44, berkata adakalanya membeli barang secara dalam talian lebih menjimatkan dan kadang kala membazir apabila pengguna berbelanja secara boros.

“Bagi saya semuanya bergantung kepada sikap individu itu sendiri… sekiranya pengguna bijak dalam berbelanja dan berhati-hati dalam membuat pemilihan barang, ia akan memberi penjimatan dan lebih nilai pada wang yang dibelanjakan,” katanya yang sering mengunakan platform e-dagang bagi membeli barangan aksesori kereta.

Satu kelemahan membuat pembelian dalam talian adalah pembeli perlu menunggu lebih daripada sehari bagi mendapat barang yang dipesan kerana ianya dihantar mengunakan perkhidmatan pos.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika dihubungi Bernama semalam berkata fenomina membeli barang secara dalam talian perlu dipantau agar ianya tidak menjadi satu budaya yang akhirnya dapat memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Semua pihak sama ada pembeli itu sendiri, ketua keluarga, badan bukan kerajaan (NGO), mahupun kerajaan perlu terlibat sama dalam melakukan pemantauan bagi memastikan mereka (pengguna) tidak membeli barang yang tidak berfaedah di luar keperluan akibat ketagih berbelanja,” katanya.

Nadzim berkata, sekiranya perkara ini tidak dipantau, beliau risau ianya akan menjadi satu budaya negatif apabila pengguna berbelanja sesuka hati tanpa mengukur kemampuan dan keperluan mereka.

“Ini bukan bermakna saya menolak kewujudan dan peranan syarikat e-dagang yang telah banyak membantu pengguna dan ekonomi negara, namum usaha membuat pemantuan perlu dilakukan segera oleh pihak berkenan agar ianya tidak menjadi satu perkara yang negatif satu hari nanti,” katanya.

Katanya, beliau ada menerima rungutan daripada orang ramai bahawa terdapat segelintir pengguna membeli barangan dari luar negara yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat negara ini dan ada juga yang membeli barangan yang salah dari segi undang-undang negara.

Artikel oleh: Bernama

PEMBELIAN DALAM TALIAN SATU PENJIMATAN ATAU PEMBAZIRAN – PENGGUNA 

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1773640