Operasi Banteras Aktiviti Haram atau Ops BAH siri ke 39 telah dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL yang disertai oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan beberapa NGO serta beberapa badan kerajaan semalam
Dalam operasi kali ini, difahamkan bahawa fokus operasi adalah untuk membanteras aktiviti sosial yang sering berlaku di dalam kalangan masyarakat kita. Lokasi serbuan kali ini tertumpu kepada Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Taman Setapak Jaya dan beberapa kelab malam di sekitar ibu kota.
Di dalam serbuan pertama bertempat di PPR Desa Rejang, Taman Setapak Jaya, dianggarkan hampir 20 orang yang dianggarkan dalam lingkungan umur 13 hingga 40 ditahan atas pengaruh dadah.
Dalam masa yang sama, satu sidang media kecil telah diadakan bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib di tempat serbuan semalam. “Kita mendapat aduan banyak dari orang ramai mengenai PPR ini yang sering menjadi tempat lokasi untuk mereka menagih,”.Beliau turut menyatakan kebimbangan beliau mengenai perkara ini sekiranya tidak dibanteras kerana boleh membahayakan nyawa penduduk di PPR ini.
“Dalam operasi malam ini juga, kami turut menahan seorang remaja yang tidak bersekolah di sebuah rumah di flat Desa Rejang hasil aduan keluarga suspek sendiri”katanya di sidang media kecil pagi tadi.
Aktiviti Ops Bah diteruskan dengan melakukan serbuan ke lokasi kelab-kelab malam di sekitar ibu kota tetapi telah menemui kekecewaan.Kami mendapati semua kelab malam tersebut di dalam keadaan kosong dan telah ditinggalkan seolah-olah telah menghidu aktiviti penyerbuan yang bakal dibuat.
Operasi Ops Bah ke-39 berakhir pada jam sekitar 6 pagi.